fb fb fb fb fb

Jarak bukan penghambat kemesraan Aidilfitri

Foto hiasan/Bernama

SAUDARA PENGARANG

Jauh di mata, dekat di hati, merupakan salah satu ungkapan yang sering meniti di bibir masyarakat apabila tidak dapat berjumpa dengan orang tersayang sewaktu menjelang Hari Raya Aidilfitri.

Tradisi budaya dan nilai yang sering diamalkan dan masih dikekalkan bagi masyarakat kita adalah pulang ke kampung halaman, atau biasa disebut balik kampung untuk menyambut perayaan bersama-sama ahli keluarga.

Menelusuri tradisi budaya ini, kita mengetahui bahawa tidak semua orang diberi kesempatan untuk merasai sambutan hari raya yang meriah disebabkan kekangan waktu untuk bekerja pada hari perayaan.

Tugas untuk berkhidmat dan mencari rezeki perlu diutamakan demi menjamin kelangsungan hidup dan memastikan ekonomi keluarga stabil pada masa kini. Sungguh pun begitu, sudah pasti kesedihan dan rasa rindu menebal akan mula terbit apabila mendengar takbir raya pada pagi 1 Syawal.

Terdapat pelbagai cara untuk menyemarakkan sambutan Hari Raya Aidilfitri walaupun tidak dapat berjumpa dengan orang tersayang. Kemajuan teknologi pada era ini mampu mengeratkan tali persaudaraan.

Bagi mereka yang tidak dapat pulang ke kampung halaman, mereka boleh membuat panggilan telefon seperti panggilan video untuk melihat suasana di kampung dan bertanya khabar.

Tambahan pula, kita boleh menghantar mesej dengan ucapan ikhlas dari hati supaya mereka dapat membaca luahan tersebut dengan lebih jelas. Dengan berbuat demikian, kita akan dapat melepaskan rasa rindu serta mengambil hati ibu bapa di kampung sebagai tanda ingatan dan kasih sayang yang tiada penghujungnya.

Walaupun tugas, jarak dan masa yang memisahkan, namun usaha untuk menghubungi mereka akan mengubati emosi yang dirasai.

Di samping itu, kita juga boleh memberi hadiah untuk kekal berhubung dengan keluarga tersayang. Sebagai contoh, kita boleh membuat pesanan melalui aplikasi jualan dalam talian dan menghantar pesanan sama ada kuih raya, baju, beg atau barang hiasan rumah kepada ibu bapa di kampung supaya dapat meringankan beban mereka dalam membuat persediaan menyambut hari raya.

Tidak dinafikan, terdapat segelintir anak yang sudah bekerja hanya membiarkan ibu bapa mereka sahaja yang mencari barang persediaan raya tanpa memberi apa-apa barangan persediaan. Perkara ini akan mengakibatkan ibu bapa terbeban kerana perlu menggunakan perbelanjaan yang tinggi.

Justeru ada banyak alternatif boleh digunakan untuk membantu memudahkan ibu bapa di kampung seperti memberi kiriman wang, supaya mereka membeli barangan mengikut keperluan dan kehendak mereka. Adakalanya ibu bapa juga mempunyai, kehendak dan cita rasa tersendiri dalam membuat persiapan hari raya.

Langkah sedemikian pasti membuatkan ibu bapa berasa gembira dan bersyukur atas rezeki yang ada. Hal ini menunjukkan bahawa tiada alasan untuk kita sebagai anak untuk tidak menghulur bantuan kepada ibu bapa walaupun tidak berjumpa di depan mata.

Sebagai ahli keluarga pula, kita sewajarnya menerima dengan berlapang dada bahawa terdapat ahli lain perlu melaksanakan tanggungjawabnya di tempat kerja. Saranan yang boleh dilakukan adalah dengan memberikan sokongan moral supaya mereka tidak berasa sedih dan ada motivasi untuk bekerja demi mencari rezeki.

Penghantaran mesej ringkas seperti “Selamat Hari Raya, Abang Long! Kami semua sayang dan rindu pada abang” sudah cukup untuk menyentuh hati mereka.

Boleh dikatakan tradisi memberi kad raya semakin berkurang apabila wujudnya pelbagai aplikasi dalam talian yang semakin maju, amalah lebih menarik dan mudah. Sebenarnya, kita boleh membangkitkan semula tradisi tersebut.

Kita boleh mengirimkan kad raya supaya mereka (penerima) berasa dihargai dan bersemangat untuk bekerja. Tidak dinafikan tradisi pemberian kad raya kini, sudah semakin berkurangan apabila wujudnya pelbagai aplikasi internet yang mudah dan percuma.

Bukan sahaja kita akan menghidupkan semula tradisi tersebut, malah pemberian kad raya membuatkan si penerima merasakan keluarga di kampung sentiasa memberi sokongan dan mengingati pengorbanan mereka.

Selain itu, kita boleh memainkan peranan untuk menawarkan bantuan tertentu. Sebagai contoh, seorang abang bertanya kepada adiknya yang perlu bekerja pada hari raya, adakah dia mempunyai wang mencukupi. Si abang juag boleh bertanya mengenai keperluan harian termasuk makanan.

Jika kita berkemampuan, maka hulurkanlah bantuan supaya hubungan kekeluargaan tidak putus selain memupuk diri untuk belajar merendahkan ego antara adik-beradik.

Kesimpulannya, usaha yang kecil boleh memberi impak besar. Walaupun hanya dengan panggilan telefon ringkas, mesej menyentuh hati atau hanya menghantar meme raya lucu, boleh menceriakan hari seseorang serta membantu mereka menstabilkan emosi dan fokus untuk bekerja pada hari raya.

Kita juga boleh berperanan menjadi individu yang memahami supaya tidak berlaku perselisihan faham, perbalahan atau perkara-perkara tidak diingini yang boleh memberi kesan kepada hubungan kekeluargaan.

Ayuh kita wujudkan keseronokan berhari raya untuk semua ahli keluarga, biar di mana mereka berada. Jangan biarkan jarak menjauhkan kita dari semangat sebenar perayaan ini. Fokus kepada mewujudkan interaksi yang menggembirakan dan positif walaupun terdapat perpisahan fizikal.

PENULIS DR. AZMAWATY MOHAMAD NOR, Timbalan Dekan (Program Ijazah Dasar), Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya dan Anggota Lembaga Kaunselor Malaysia; Nurfarahira Ahmad Yaccob, Kaunselor Pelatih Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

MAT YUNUS BIN SABRI