fb fb fb fb fb

Keluarga benteng utama bentuk belia berakhlak

FOTO BERNAMA

SAUDARA PENGARANG

Sejak kebelakangan ini, masyarakat dikejutkan dengan peningkatan kes buli, tikam dan rogol yang berlaku di sekolah, suatu gejala yang mencerminkan bagaimana emosi yang tidak terkawal dan rapuhnya hubungan kekeluargaan boleh berpadu dengan pengaruh dunia digital hingga menzahirkan tragedi di alam nyata, ianya sekali gus mengingatkan kita bahawa keluarga yang kukuh dan komunikasi yang sihat masih menjadi benteng utama dalam membentuk belia yang tenang dan berakhlak.

Dalam dunia yang semakin bergantung kepada teknologi dan media sosial, kita sering menyaksikan bagaimana konflik maya bertukar menjadi tragedi dunia sebenar. Namun, punca sebenar kepada tingkah laku agresif dan rasa berhak diri dalam kalangan belia tidak datang daripada satu sumber semata-mata; ia lahir daripada gabungan asuhan keluarga dan persekitaran digital yang saling mempengaruhi.

Penyelidik di Belanda dan Sepanyol baru-baru ini mendapati bahawa didikan ibu bapa yang penyayang, konsisten dan tegas, disertai komunikasi berhemah serta sempadan yang jelas, mampu melindungi anak-anak daripada penggunaan media sosial secara berlebihan dan tingkah laku agresif.

Sebaliknya, kajian di Korea Selatan dan Kanada menunjukkan bahawa asuhan yang sambil lewa atau terlalu mengongkong, lebih-lebih lagi apabila ibu bapa sendiri leka dengan telefon pintar yang digelar phubbing, berkait rapat dengan peningkatan pergantungan digital dan kecenderungan agresif dalam kalangan belia.

Apabila hubungan kekeluargaan menjadi longgar, ramai anak muda mencari pengiktirafan di alam maya. Di sinilah algoritma dan norma rakan sebaya sering menggalakkan tingkah laku melampau dan provokatif.

Penyelidik di Switzerland misalnya mendapati bahawa media sosial sering memberi ganjaran kepada pengguna yang berani melanggar norma, menjadikan ruang digital sebagai pentas untuk menonjolkan keangkuhan dan emosi negatif yang tidak tertangani di rumah.

Namun, bukan ibu bapa sahaja yang harus dipersalahkan. Realitinya, pengaruh media sosial kini menandingi kekuatan institusi keluarga. Kajian di Amerika Syarikat (AS) dan Greece menunjukkan bahawa pendedahan tinggi kepada kandungan ganas di media sosial mampu meningkatkan kecenderungan agresif walaupun seseorang belia mempunyai hubungan keluarga yang baik.

Dalam konteks Malaysia, penyelidikan terbaharu di daerah Muallim, Perak, menunjukkan bahawa pelajar sekolah menengah yang menghabiskan lebih banyak masa di media sosial mencatat skor agresif yang lebih tinggi.

Kajian ini turut menegaskan pentingnya intervensi seperti pemantauan masa skrin dan pendidikan literasi digital yang disesuaikan dengan budaya serta corak hidup belia Malaysia. Dapatan ini sejajar dengan kajian di Mexico yang mendapati ketagihan media sosial berpotensi memperkuat tingkah laku agresif belia di seluruh dunia.

Walaupun penyelidikan tempatan tentang interaksi keluarga masih terhad, dapatan global tetap menunjukkan bahawa iklim keluarga yang positif dan penyayang; termasuk kehangatan emosi, sokongan ibu bapa dan komunikasi terbuka, dapat mengurangkan kecenderungan agresif.

Penyelidik di China, Rusia dan Kanada mendapati bahawa penolakan atau konflik keluarga sering dikaitkan dengan peningkatan tingkah laku agresif, manakala keluarga yang berfungsi dengan baik membantu anak-anak mengawal emosi dan memupuk empati.

Menariknya, satu ulasan rentas negara yang turut melibatkan data Malaysia menunjukkan bahawa pendedahan internet boleh menjadi peramal lebih kuat terhadap agresif belia berbanding kelekatan keluarga atau rakan sebaya, terutama dalam persekitaran dengan capaian digital yang tinggi.

Walaupun begitu, penglibatan dan bimbingan ibu bapa tetap berperanan sebagai pelindung yang menampan kesan negatif media sosial. Kajian di AS pula mendapati bahawa apabila anak-anak berasa disayangi, didengari dan dihargai, tahap kemarahan serta kecenderungan bertindak ganas menurun dengan ketara, walaupun mereka menghadapi tekanan luar seperti buli atau konflik rakan sebaya.

Sementara itu, penyelidikan di China dan Indonesia menunjukkan bahawa belia yang mempunyai kelekatan emosi tinggi dengan keluarga lebih berupaya mengawal kemarahan serta tidak mudah terpengaruh dengan provokasi dalam talian. Jelaslah bahawa penyelesaian bukanlah dengan menyalahkan satu pihak, tetapi mencari keseimbangan antara bimbingan lembut dan disiplin tegas, antara kasih sayang dan sempadan digital.

Akhirnya, walau sehebat mana teknologi berkembang, satu hakikat kekal, keluarga yang kuat melahirkan belia yang tenang. Dalam dunia yang semakin beremosi dan tidak menentu ini, kasih sayang serta komunikasi dalam rumah tangga masih menjadi “algoritma” terbaik untuk membina generasi yang berempati, beradab dan berakal budi.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

DR HAMIZAH SAHHARON NEW
Dr Hamizah Sahharon
Pensyarah Kanan
Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media
UiTM Shah Alam

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM