SAUDARA PENGARANG
Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang berlangsung di Kuala Lumpur pada 26 hingga 28 Oktober 2025 menutup tirainya dengan penuh kejayaan. Malaysia bukan sahaja menjadi tuanrumah yang cemerlang, tetapi berjaya menonjolkan kepemimpinan baharu yang berpaksikan bahasa, budaya dan nilai bangsa.
Dalam himpunan pemimpin tertinggi Asia Tenggara serta rakan dialog antarabangsa, Malaysia menyerlah sebagai suara serantau yang berprinsip dan berwawasan, membina pengaruh bukan melalui kuasa, tetapi melalui kehalusan diplomasi.
Antara perkara yang paling menonjol sepanjang sidang termasuklah penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa utama pada papan tanda, poster dan bahan promosi rasmi, manakala bahasa Inggeris diletakkan di bawah sebagai terjemahan sokongan.
Keputusan ini bukan sekadar aspek reka bentuk, tetapi lambang keyakinan Malaysia terhadap kemampuan bahasa kebangsaannya untuk berdiri di pentas antarabangsa. Dalam suasana dunia yang sering mengutamakan bahasa global, Malaysia memilih untuk menegakkan martabat bahasa sendiri.
Bahasa Melayu bukan hanya alat komunikasi, tetapi wajah maruah bangsa yang membawa mesej bahawa jati diri dankemajuan boleh bergerak seiring. Dari sudut diplomasi, bahasa memainkan peranan penting dalam usaha membentuk imej dan persepsi.
Apabila bahasa Melayu digunakan secara dominan dalam acara rasmi antarabangsa, Malaysia menghantar isyarat jelas bahawa kemajuan tidak perlu dibina dengan mengorbankan akar budaya.
Penggunaan bahasa Melayu dalam sidang ini menunjukkan bahawa Malaysia bukan sekadar mengurus persidangan, tetapi turut mengangkat simbol bahasa dan identiti kebangsaan pada tahap serantau.
Negara ini tidak menjadi penganjur acara semata-mata, tetapi menjadi pencipta naratif baharuyang menunjukkan bahasa kebangsaan boleh berdiri sama tinggi dengan bahasa lainapabila digunakan dengan yakin dan penuh wibawa.
Tindakan ini sekali gus mengukuhkan citra Malaysia sebagai pemimpin serantau yang berani menunjukkanidentiti sendiri dan terbuka kepada dunia luar.
Keunikan penganjuran sidang turut diserikan dengan persembahan tarian zapin dan muzik yang memukau. Biduanita Negara Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Datuk M. Nasir mempersembahkan lagu-lagu Melayu.
Alunan suara mereka dalam bahasa kebangsaan bukan sahaja menghiburkan para delegasi, tetapi mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa seni yang indah dan berprestij pada peringkat antarabangsa.
Persembahan ini menjadi wahana diplomasi budaya yang mencerminkan nilai kesatuan dalam kepelbagaian yang menjadi asas kepada ASEAN.
Persembahan ini juga membuktikan bahawa Malaysia tidak hanya mempromosikan kemajuan ekonomi, tetapi juga memperkenalkan keindahan bahasanya melalui seni dan muzik.
Apabila sidang berakhir, Malaysia meninggalkan kesan mendalam terhadap rantau ini. Penganjuran yang tersusun dan profesional diiktiraf oleh media antarabangsa sebagai yang terbaik dalam sejarah ASEAN.
Kuala Lumpur muncul sebagai tuan rumah yang menggabungkan nilai ketimuran dengan standard global.
Sidang ini juga membawabeberapa kejayaan besar seperti peningkatan kedudukan diplomatik Malaysia, pencapaian kesepakatan baharu dalam kerjasama digital dan pembangunan perusahaan kecil dan sederhana ASEAN, serta kemasukan rasmi Timor-Leste sebagai ahli ASEAN ke-11.
Semua kejayaan ini mengangkat imej Malaysia sebagai pemimpin serantau yang matang dan progresif. Kejayaan penganjuran ini juga memberikan dimensi baharu kepada kedudukan bahasa Melayu dalam ASEAN.
Bahasa ini bukan sekadar warisan sejarah, tetapi berpotensi menjadi bahasa penghubung serantau kerana dituturkan dan difahami di Malaysia, Indonesia, Brunei, serta sebahagian selatan Thailand dan Filipina.
Dengan nilai kesantunan dan keseimbangan yang terkandung, bahasa Melayu mampu menjadi bahasa diplomasi yang menyatukan kepelbagaian bangsa di rantau ini.
Kesimpulannya, Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 bukan sekadar kejayaan politik atau ekonomi, tetapi kejayaan simbolik yang menegaskan bahawa bahasa dan budaya ialah asas kepada kepemimpinan Malaysia.
Apabila bahasa Melayu diangkat pada papan tanda utama dan pentas persidangan diserikan dengan persembahan budaya, dunia melihat Malaysia memimpin dengan akar budayanya sendiri. Bahasa Melayu menjadi cerminan jati diri bangsa yang kini berdiri megah di pentas ASEAN.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Dr. Muhammad Faizul Abd Hamid
Pensyarah Kanan, Jabatan Bahasa Melayu
Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi
Universiti Putra Malaysia (UPM)