fb fb fb fb fb

Kehidupan digital yang sihat

Foto Hiasan

SAUDARA PENGARANG

Kehidupan digital kini semakin lazim bagi kita, ibarat tabiat minum secawan kopi di pagi hari sebelum memulakan aktiviti seharian. Teknologi digital dianggap mustahak untuk tujuan kerja, pembelajaran, mahupun kehidupan sosial.

Namun, kemudahannya juga boleh mencetuskan ancaman kepada kesihatan mental dan keselamatan. Maka, tabiat digital seharian membawa maksud berbeza apabila dibandingkan dengan penggunaan digital yang seimbang dan fenomena kelesuan digital.

Hampir semua rakyat Malaysia kini berada atas talian. Data daripada DataReportal menunjukkan terdapat 34.9 juta pengguna internet pada awal tahun 2025, malah jumlah penetrasi kebangsaan mencapai 97.7%. Jelaslah, tekanan digital adalah isu negarA, isu semua pemegang taruh, bukan perjuangan sesetengah pihak atau individu sahaja.

Kajian terbaharu menekankan bahaya dalam dunia digital bukan bergantung kepada tempoh masa penggunaan peranti, tetapi bagaimana kita menggunakannya. Satu kajian berskala besar yang diterbitkan dalam jurnal JAMA menemui bahawa tahap ketagihan media sosial, telefon mudah alih, dan permainan atas talian tinggi di kalangan anak muda.

Corak ketagihan ini berkait rapat dengan kesihatan mental yang teruk dan kecenderungan bunuh diri yang tinggi. Ringkasnya, sekadar mengehadkan waktu layar tidak mencukupi jika punca emosi dan kelakuan yang terganggu tidak ditangani.

Agensi kerajaan tempatan dan antarabangsa telah memulakan langkah awal untuk menangani isu ini. Antaranya:

  • Pelan Strategik Kesihatan Mental (2020–2025) menempatkan kemurungan dan kebimbangan di kalangan anak muda sebagai isu utama, dan menekankan pencegahan serta sokongan awal melalui sekolah dan masyarakat.
  • UNICEF menegaskan anak-anak kecil juga terancam atas talian melalui isu eksploitasi dan buli siber, dan menyeru penyediaan ruang digital lebih selamat serta saluran aduan yang mudah diakses.

Amalan Kesejahteraan Digital

Beberapa langkah boleh diamalkan untuk menjaga kesejahteraan digital:

  • Semak tujuan, bukan masa
    Mulakan dengan bertanya: “Kenapa saya berada atas talian?” Hadkan penggunaan aplikasi yang mencuri masa tanpa ganjaran, atau padamkan aplikasi tersebut. Semak sama ada penggunaan peranti menjejaskan tidur, emosi, atau aktiviti harian.
  • Bina tabiat hidup tanpa peranti
    Luangkan sekurang-kurangnya 1 jam tanpa teknologi sebelum tidur dan letakkan peranti di luar bilik tidur. Amalan ini membantu memulihkan perhatian, tidur berkualiti, empati, dan hubungan interpersonal.
  • Ajar dan tunjukkan literasi digital
    Ibu bapa, guru, dan pemimpin masyarakat perlu mendidik anak muda tentang bahaya atas talian, cara melaporkan kepada pihak berkuasa, dan mengurus privasi peranti. Kajian UNICEF di Malaysia menunjukkan ramai anak kecil tidak tahu cara menyalurkan aduan.
  • Utamakan kesejahteraan hubungan
    Periksa sama ada tabiat atas talian menyokong atau menggantikan hubungan dunia sebenar. Galakkan perjumpaan fizikal dan aktiviti sukan berkelompok sebagai sokongan sosial untuk menangani kebimbangan dan kemurungan.
  • Guna teknologi untuk membantu
    Gunakan aplikasi dengan bijak, contohnya untuk memantau tidur dan senaman. Pilih aplikasi yang membenarkan kawalan pengguna, tetapkan notifikasi bersesuaian, dan elakkan aplikasi yang mendorong semakan berulang.

Para pakar menegaskan, pemantauan kehidupan digital bukan tertumpu kepada jumlah masa, tetapi corak ketagihan yang dialami. Pergantungan digital boleh menjejaskan emosi, kesihatan mental, dan fizikal seseorang. Oleh itu, amalan kesejahteraan digital perlu dimasukkan dalam rutin harian. Sekolah boleh memasukkan kesejahteraan digital dalam kurikulum dan menyediakan saluran aduan jelas untuk ancaman atas talian.

Agensi kesihatan pula boleh mengenal pasti pencetus tekanan digital melalui saringan awal dan menyampaikan maklumat berkaitan kesejahteraan digital kepada masyarakat. Pembuat dasar perlu menambahbaik program literasi digital dan berkongsi bersama komuniti, terutamanya anak muda.

Dunia digital tidak akan hilang daripada kehidupan kita. Namun, dengan objektif yang jelas, tabiat sihat, pendidikan tepat, dan sokongan komuniti berterusan, rakyat Malaysia boleh menikmati kebaikan teknologi sambil menjaga kesihatan mental dan keselamatan. Kadang-kadang, klik yang paling sihat ialah klik yang tidak kita buat.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

DR NOR NAZRINA MOHAMAD NAZRY
Dr Nor Nazrina Mohamad Nazry
Pensyarah Kanan,Jabatan Kurikulum
dan Teknologi Pengajaran, Fakulti Pendidikan
Universiti Malaya (UM)
e-mel: Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya..

 

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN