SAUDARA PENGARANG
Di Malaysia, lebih 700,000 individu berdaftar sebagai Orang Kurang Upaya (OKU) setakat 2024, menurut Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Namun, penyertaan mereka dalam tenaga kerja formal masih rendah, iaitu hanya sekitar 0.3% daripada keseluruhan populasi pekerja menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Hakikat ini bukan sahaja menunjukkan cabaran besar dalam merealisasikan dasar inklusif, malah juga satu kerugian ekonomi yang ketara kepada negara.
Dalam suasana Malaysia menuju negara maju berpendapatan tinggi, sudah tiba masanya kita melihat penggajian OKU bukan sekadar memenuhi tanggungjawab sosial, tetapi sebagai pelaburan kepada masa depan ekonomi dan sosial negara.
Akta Orang Kurang Upaya 2008 mewajibkan kerajaan dan pihak swasta memberikan hak sama rata kepada OKU termasuk peluang pekerjaan.
Kerajaan Malaysia juga telah memperkenalkan Dasar 1% Pengambilan OKU di sektor awam sejak 2018, dengan sasaran 1% daripada jawatan kosong diperuntukkan untuk OKU.
Namun, menurut Laporan Tahunan JKM 2022, hanya 0.6% jawatan di sektor awam diisi oleh OKU.
Di sektor swasta, penglibatan OKU masih rendah, meskipun insentif seperti potongan cukai sehingga RM50,000 diberikan kepada syarikat yang menggaji pekerja OKU.
Sesuatu yang lebih yg lebih komprehensif perlu dilakukan bagi mengalakkan pengambilan dan penyertaan golongan OKU dalam pasaran pekerjaan formal.
Sesuatu perlu dilakukan bagi mastikan kuota satu peratus penjawat awam ditepati.
Terdapat juga keperluan untuk sektor swasta meningkatkan kadar penggajian OKU dalam sektor swasta untuk menjadikann pasaran pekerjaan lebih inklusif dan kondusif.
Mengapa Majikan Digalakkan Mengambil Pekerja OKU?
1. Menjana Organisasi yang Lebih Inovatif dan Berdaya Saing
Kajian Deloitte (2020) membuktikan bahawa organisasi yang mengamalkan kepelbagaian tenaga kerja, termasuk OKU menikmati prestasi kewangan 33% lebih tinggi daripada pesaing mereka. Pekerja OKU membawa perspektif unik, daya tahan tinggi serta kreativiti dalam menyelesaikan masalah, kualiti yang amat bernilai dalam pasaran global hari ini.
2. Memenuhi Tuntutan Dasar Negara
Dasar 1% kuota OKU dalam sektor awam sudah lama diperkenalkan. Sektor swasta kini turut digalakkan memenuhi sasaran ini selaras dengan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang menekankan pemerkasaan OKU dalam tenaga kerja.
3. Peluang Insentif Kewangan
Majikan yang menggaji OKU layak menikmati pelbagai pelepasan cukai daripada LHDN, termasuk potongan cukai berganda atas gaji pekerja OKU, pelepasan sehingga RM6,000 untuk pembelian alat khas, pelepasan individu untuk pasangan atau anak OKU sebanyak RM6,000.
Tambahan pula, menerusi OKU Talent Enhancement Programme (OTEP) oleh HRD Corp, majikan boleh mendapat geran latihan penuh serta bantuan elaun selama enam bulan melalui Placement Job Training (PJT).
4. Menyumbang kepada Pembangunan Negara
ILO menganggarkan ekonomi negara boleh rugi antara 3% hingga 7% KDNK jika OKU tidak dimanfaatkan dalam pasaran kerja. Dengan kata lain, mengabaikan potensi OKU adalah merugikan semua pihak.
5. Mendorong Inovasi Produk dan Perkhidmatan
OKU sering menjadi pengguna utama teknologi assistif (bantuan) seperti aplikasi komunikasi untuk pekak atau alat mobiliti untuk mereka yang terbatas fizikal. Penglibatan mereka dalam pasaran kerja membolehkan syarikat memahami keperluan pasaran ini dengan lebih baik. Syarikat seperti Microsoft Malaysia telah melancarkan program latihan OKU dalam pembangunan perisian, menghasilkan produk yang lebih mesra pengguna.
Manfaat Menggaji Pekerja OKU kepada Sektor Pekerjaan
Meningkatkan Produktiviti: OKU lazimnya menunjukkan komitmen tinggi terhadap pekerjaan. Statistik antarabangsa menunjukkan kadar kehadiran pekerja OKU adalah lebih tinggi berbanding pekerja biasa.
Membina Budaya Kerja Positif: Kehadiran pekerja OKU mewujudkan persekitaran kerja yang lebih empati, penyayang dan inklusif, meningkatkan motivasi keseluruhan tenaga kerja.
Mengurangkan Ketidaksamaan Sosial: Menyediakan peluang kepada OKU bukan sahaja mengangkat martabat individu, malah mengurangkan kebergantungan kepada bantuan sosial kerajaan.
Inisiatif Terkini Kerajaan dan Swasta
Malaysia kini lebih proaktif menyediakan sokongan untuk memudahkan majikan mengupah pekerja OKU:
Perkhidmatan Job Coach: Program intensif oleh JKM untuk membantu OKU dan majikan menyesuaikan diri. Job Coach melakukan penilaian tempat kerja, pemadanan kerja (job matching), bimbingan sokongan, dan pemantauan berterusan.
Skim Bantuan Galakan Perniagaan OKU (SBGP-OKU): Di bawah Jabatan Tenaga Kerja, skim ini membolehkan OKU memperoleh bantuan maksimum RM100,000 untuk memulakan atau mengembangkan perniagaan.
Latihan dan Pembangunan HRD Corp: Melalui program seperti OTEP, HRD Corp menyediakan latihan bersubsidi penuh untuk meningkatkan kemahiran OKU dan membantu majikan memenuhi keperluan tenaga kerja.
Insentif Kewangan dan Cukai: Melalui LHDN dan PERKESO, majikan menerima pelbagai potongan cukai dan bantuan kewangan lain.
OKU: Berdikari dan Menyumbang kepada Pembangunan Negara
Mendapat peluang pekerjaan bukan sahaja memberi pendapatan kepada OKU, tetapi juga membentuk maruah, jati diri dan semangat patriotisme.
Mereka bukan lagi penerima bantuan, tetapi penyumbang ekonomi melalui pembayaran cukai, penggunaan kuasa beli dan penglibatan dalam sektor produktif.
Lebih penting, OKU yang bekerja berperanan membina jaringan komuniti, memimpin perubahan sosial dan menjadi contoh kepada masyarakat bahawa ketidakupayaan bukanlah penghalang kepada kejayaan.
Contohnya, syarikat seperti Maybank, Starbucks, AEON dan McDonald’s telah membuktikan bahawa pekerja OKU mampu menyumbang kepada operasi harian dengan cemerlang apabila diberi peluang dan sokongan sewajarnya.
Pekerjaan membolehkan OKU menjadi ahli masyarakat yang aktif. Menurut Kajian Sosioekonomi OKU 2022, OKU yang bekerja mengalami peningkatan 40% dalam kualiti hidup berbanding yang menganggur. Mereka juga menyumbang kepada KDNK negara melalui produktiviti dalam pelbagai sektor.
Seruan Harapan: Gembleng Tenaga Semua Pihak
Sebagai seorang pakar dalam bidang OKU, saya ingin menyeru seluruh majikan, samada sektor kerajaan mahupun swasta untuk membuka pintu peluang kepada golongan ini.
Malaysia perlu bergerak ke arah pasaran buruh yang benar-benar inklusif, di mana semua individu tanpa mengira keupayaan fizikal, mental atau sensori diberi peluang sama rata.
Kerajaan pula mesti terus memperkukuhkan insentif, memperluaskan skim bantuan, melaksanakan undang-undang anti-diskriminasi secara lebih ketat dan mempergiatkan kempen kesedaran untuk mengubah persepsi masyarakat terhadap kebolehupayaan OKU.
Dengan sokongan bersama, kita bukan sahaja memperkasakan OKU, malah memperkasa Malaysia menuju masa depan yang lebih makmur, berdaya saing dan penuh harapan.
Pengambilan pekerja OKU bukan sahaja tanggungjawab sosial, tetapi peluang strategik untuk memacu pertumbuhan ekonomi dan membina masyarakat inklusif.
Dengan sokongan kerajaan dan komitmen swasta, OKU mampu menjadi aset berharga yang menyumbang kepada Ekonomi Madani.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.
Dr. Mastura Mahamed
Penyelidik
Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS)
Universiti Putra Malaysia (UPM)
Emel: