SAUDARA PENGARANG
Kematian adalah suatu hakikat yang tidak dapat dielakkan. Setiap yang bernyawa pasti akan kembali kepada Penciptanya. Namun, bagaimana proses menuju kematian itu berlaku, sama ada secara mengejut, perlahan akibat penyakit kronik, atau secara tiba-tiba setelah peristiwa kritikal adalah sesuatu yang berbeza bagi setiap individu.
Di sinilah pentingnya kita memahami satu konsep yang semakin diberi perhatian dalam dunia perubatan hari ini, iaitu End-of-Life Care atau Penjagaan Akhir Hayat.
Apa Itu End-of-Life Care?
End-of-Life Care (EOLC) bukanlah bermaksud kita menyerah kalah terhadap penyakit, atau membiarkan pesakit tanpa rawatan. Sebaliknya, ia adalah satu bentuk penjagaan yang fokus kepada keselesaan, keperluan emosi, spiritual dan maruah pesakit yang berada dalam fasa akhir kehidupan.
Ia bukan penamatan rawatan, tetapi satu arah rawatan yang baru apabila usaha untuk menyembuhkan tidak lagi memberi manfaat, malah mungkin membawa mudarat.
End-of-Life Care membantu pesakit menghadapi saat-saat terakhir dengan tenang, dan membantu keluarga menerima kenyataan dengan lebih bersedia.
Setiap Kematian Ada Jalannya
Apabila seseorang jatuh sakit dan dimasukkan ke hospital, ramai diantara kita berharap agar semuanya akan pulih seperti sediakala.
Namun, tidak semua perjalanan menuju ajal adalah sama. Ada yang:
- Meninggal secara tiba-tiba akibat serangan jantung, kemalangan, atau strok.
- Mengalami kemerosotan akibat penyakit kronik seperti kanser, kegagalan buah pinggang, atau paru-paru kronik.
- Dilahirkan dengan kecacatan atau penyakit yang tidak dapat dipulihkan dan hidup dalam fasa menunggu masa.
Pemahaman tentang trajektori kematian ini sangat penting. Ia membantu kita memahami kenapa sesetengah rawatan perlu dihentikan, kenapa ada ketika ubat-ubatan tidak lagi berfungsi, dan kenapa doktor mula berbicara tentang ‘arah rawatan baru’.
Penilaian Perubatan Tidak Berdiri Sendiri
Dalam membuat keputusan rawatan, doktor tidak hanya melihat apa yang berlaku pada saat itu sahaja. Mereka akan mengambil kira:
- Sejarah kesihatan pesakit penyakit terdahulu, pembedahan, ubat-ubatan yang pernah diambil.
- Fungsi organ dalaman sama ada masih berupaya berfungsi atau sudah rosak teruk.
- Pola kehidupan pesakit pekerjaan, tahap ketahanan fizikal, serta gaya hidupnya sebelum jatuh sakit.
Adakalanya seseorang yang masih muda mengalami kegagalan organ yang teruk, akibat gaya hidup atau faktor genetik yang tersembunyi. Ada juga warga emas yang kelihatan uzur tetapi masih mampu bertahan lama kerana organ dalaman mereka masih utuh. Ini semua hanya dapat dikenalpasti melalui penilaian klinikal yang menyeluruh, termasuk ujian-ujian makmal dan pemerhatian dari masa ke semasa.
Peranan Keluarga dan Masyarakat: Kritikal dan Tidak Boleh Diabaikan
Apabila doktor mula berbincang tentang penjagaan akhir hayat, sering kali timbul rasa panik, tidak percaya atau salah faham. Ini lumrah.
Namun penting untuk kita faham bahawa:
- Keputusan perawatan dibuat berdasarkan penilaian yang teliti dan profesional.
- Keluarga perlu memahami konteks dan menerima maklumat dengan hati yang terbuka.
- Perbincangan antara doktor dan waris bukan untuk ‘mengalah’, tetapi untuk mencari jalan yang paling mulia bagi pesakit. Sokongan ahli keluarga sangat penting dalam membantu perawat memahami hasrat pesakit, mengenal pasti nilai-nilai yang penting dalam hidupnya, dan memastikan keputusan yang dibuat selari dengan kepercayaan dan kehendaknya.
Sebagai masyarakat, kita perlu membuang stigma bahawa ‘bila rawatan dihentikan, maknanya doktor mengalah’. Hakikatnya, ia adalah usaha terakhir untuk menjaga maruah dan keselesaan pesakit di saat-saat akhir hidupnya.
End-of-Life Care dan Islam: Bukan Dua Jalan Yang Bertentangan
Dalam Islam, menjaga nyawa adalah satu amanah. Namun, kita juga diajar untuk tidak memaksa sesuatu yang tidak bermanfaat dan untuk menghormati takdir Allah SWT apabila semua usaha sudah dilakukan.
End-of-Life Care selari dengan nilai-nilai Islam yang menekankan:
- Menjaga maruah manusia walaupun di saat-saat akhir.
- Tidak menyeksa pesakit dengan rawatan yang menyakitkan tanpa harapan.
- Bersiap untuk kembali kepada Allah dengan penuh tenang dan berserah.
Islam juga memberi ruang kepada doktor sebagai ahli dalam bidang mereka untuk menentukan arah rawatan, dan menyarankan agar ia dilakukan dengan hikmah, ihsan dan konsultasi bersama keluarga.
Menjadikan Kematian Suatu Yang Terhormat
Kematian bukan hanya satu peristiwa. Ia adalah proses fizikal, emosi dan spiritual. Sebagaimana kelahiran disambut dengan persiapan dan penuh kasih sayang, begitu juga kematian harus dihadapi dengan kesediaan, kefahaman dan kebersamaan.
End-of-Life Care bukan hanya tugas doktor. Ia adalah tanggungjawab bersama antara perawat, keluarga dan masyarakat. Kita perlu belajar untuk berbicara tentang kematian dengan terbuka, memahami pilihan rawatan, dan mendekati saat akhir kehidupan dengan hati yang lapang serta kepercayaan bahawa setiap detik itu adalah takdir yang penuh hikmah daripada Allah SWT.
"Holding hands, holding hearts until the very end"
Semoga kita semua diberi kekuatan untuk menjadi penyokong yang setia bagi insan yang kita kasihi, hingga ke hujung nyawa mereka… dan kita sendiri, apabila tiba masanya.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.
Dr Tengku Abdul Kadir Bin Tengku Zainal Abidin
Pakar Anestesiologi dan Unit Rawatan Intensif
Hospital Sultan Zainal Abidin (HoSZA)
Email: