SAUDARA PENGARANG
Tekanan kerja, beban tugasan dan kurang sokongan psikososial menjadikan kesihatan mental anggota keselamatan isu nasional yang wajar diberi perhatian serius. Anggota keselamatan negara dan petugas barisan hadapan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta kakitangan hospital memikul tanggungjawab yang berat dan penuh risiko.
Mereka menjadi benteng pertahanan rakyat, menjaga keselamatan, kestabilan dan nyawa setiap hari. Namun, di sebalik seragam dan disiplin yang teguh, tersembunyi satu krisis senyap yang semakin membimbangkan — tekanan mental yang tinggi dan berpanjangan.
Tugas Berisiko Tinggi dan Keletihan Melampau
Setiap hari, anggota barisan hadapan berdepan cabaran luar biasa. Anggota polis perlu menangani jenayah, rusuhan dan kawalan keselamatan awam, sementara tentera pula beroperasi di kawasan berisiko tinggi. Dalam masa yang sama, petugas kesihatan bergelut menyelamatkan nyawa dalam suasana serba mencabar dan tidak menentu.
Kerja berjam-jam tanpa rehat mencukupi, sistem syif tidak menentu dan tanggungjawab berat menjadikan keletihan atau burnout sebagai fenomena yang semakin ketara. Ramai dalam kalangan mereka melaporkan gangguan tidur, kehilangan selera makan dan keletihan mental akibat tekanan berpanjangan.
Kajian di Malaysia menunjukkan bahawa tekanan kerja yang tinggi, kepadatan tugas serta kekurangan sokongan mental antara petugas barisan hadapan merupakan faktor utama kepada masalah kesihatan mental.
Data menunjukkan sejumlah 14.8% petugas barisan hadapan di sektor kesihatan melaporkan stres, 30.7% mengalami kebimbangan dan 20.4% menunjukkan gejala kemurungan dalam satu kajian semasa pandemik. Statistik ini memberi amaran bahawa risikonya bukan kecil.
Kesan Terhadap Kehidupan dan Kerjaya
Tekanan di tempat kerja bukan sahaja menghakis semangat, malah menjejaskan kesejahteraan peribadi. Ramai anggota terpaksa berjauhan daripada keluarga untuk tempoh lama, menyebabkan mereka kehilangan sokongan emosi dan keseimbangan hidup yang sihat.
Menurut data rasmi, sekitar 29.2% daripada orang dewasa Malaysia berumur 16 tahun ke atas dilaporkan mempunyai masalah kesihatan mental dalam tinjauan nasional. Di samping itu, satu juta rakyat Malaysia berumur 16 tahun ke atas disahkan mengalami kemurungan menurut tinjauan terkini.
Faktor seperti konflik hubungan di tempat kerja, kesunyian kerana penugasan jauh dari keluarga serta beban tanggungjawab yang semakin berat dikenal pasti sebagai punca utama tekanan mental dalam kalangan anggota keselamatan dan petugas barisan hadapan.
Apabila kesihatan mental terganggu, tumpuan kerja menurun, keputusan operasi boleh terjejas dan hubungan pasukan menjadi renggang. Dalam konteks keselamatan negara, kesannya amat besar kerana ia menyentuh kecekapan operasi dan keyakinan rakyat terhadap institusi keselamatan.
Faktor Penyumbang Tekanan Mental
Tekanan mental dalam kalangan anggota barisan hadapan berpunca daripada kombinasi pelbagai faktor yang saling berkait dan memperkukuh antara satu sama lain.
Antara punca utama ialah beban kerja berlebihan dan permintaan tugas yang tinggi. Anggota keselamatan dan petugas barisan hadapan terpaksa bekerja dalam waktu panjang dengan tanggungjawab besar yang memerlukan tumpuan sepenuhnya. Dalam suasana kerja yang menuntut komitmen berterusan tanpa ruang rehat mencukupi, keletihan mental dan fizikal mudah berlaku.
Selain itu, kekeliruan dan konflik peranan turut menjadi punca tekanan. Dalam organisasi besar dan berlapis, kadangkala wujud kekaburan tentang tanggungjawab sebenar atau pertindihan fungsi antara jabatan. Situasi ini menimbulkan kekeliruan dan menambah beban kerja sedia ada, terutama apabila keputusan perlu dibuat segera dalam keadaan kritikal.
Hubungan interpersonal dan sokongan organisasi yang lemah juga merupakan penyebab utama. Konflik dengan rakan sekerja, komunikasi yang tegang atau budaya kerja yang tidak menyokong menjadikan tekanan semakin berat untuk dihadapi.
Ramai anggota memilih untuk memendam perasaan kerana bimbang dianggap lemah atau tidak profesional, sedangkan tekanan yang dipendam tanpa bantuan hanya memburukkan keadaan.
Dalam masa yang sama, keseimbangan antara kerja dan kehidupan peribadi sering kali terganggu. Tuntutan kerja yang berterusan menyebabkan masa bersama keluarga semakin berkurang, waktu rehat tidak menentu dan sokongan sosial semakin terhakis.
Faktor lain yang turut memberi kesan ialah persekitaran kerja yang mencabar dan kekurangan sumber. Kekurangan kelengkapan, risiko kecederaan dan pendedahan kepada situasi berbahaya menambah tekanan fizikal serta mental, khususnya bagi mereka yang bertugas di lapangan atau menghadapi situasi kecemasan.
Kesemua faktor ini membuktikan bahawa tekanan mental bukan berpunca daripada kelemahan individu, sebaliknya daripada sistem kerja dan persekitaran tugas yang menuntut daya tahan luar biasa tanpa sokongan mencukupi.
Implikasi Terhadap Kualiti Perkhidmatan
Kesan tekanan mental tidak hanya dirasai oleh individu tetapi turut menjalar kepada keseluruhan organisasi. Produktiviti menurun, disiplin terganggu dan semangat pasukan merosot.
Ketua Polis Negara pada tahun 2025 menegaskan bahawa penjagaan kesihatan mental anggota perlu dijadikan sebahagian daripada strategi pengurusan sumber manusia. Anggota yang stabil dari segi mental lebih berdaya tahan dan berupaya membuat keputusan tepat ketika berhadapan situasi getir.
Dalam bidang kesihatan, pegawai yang mengalami keletihan kronik lebih mudah melakukan kesilapan dan kehilangan empati terhadap pesakit. Ini menunjukkan bahawa kesejahteraan mental bukan sekadar isu kebajikan tetapi turut menentukan keselamatan orang awam serta mutu perkhidmatan negara.
Komitmen Belanjawan MADANI 2026
Menyedari kepentingan isu ini, Belanjawan MADANI 2026 buat pertama kalinya memberi penekanan besar kepada aspek kesihatan mental barisan hadapan di bawah teras “Memugar Kesejahteraan Insan.”
Sebanyak RM280 juta diperuntukkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi memperkukuh pelaksanaan Pelan Strategik Kesihatan Mental Nasional dan menubuhkan Pusat Psikologi dan Kesejahteraan Nasional (NaMHP). Pusat ini akan berfungsi sebagai pusat intervensi dan rawatan khusus untuk penjawat awam termasuk anggota barisan hadapan.
Selain itu, RM150 juta disalurkan kepada Kementerian Pertahanan dan Kementerian Dalam Negeri bagi memperkukuh program kaunseling trauma, latihan pengurusan stres serta kempen keseimbangan kerja dan kehidupan di setiap kontinjen serta kem tentera.
Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar, menegaskan bahawa anggota yang kuat dari segi mental adalah benteng pertama pertahanan negara. Kenyataan itu mencerminkan kesedaran baharu bahawa kesejahteraan emosi dan psikologi bukan semata-mata isu kebajikan tetapi strategi keselamatan nasional.
Ke Arah Pendekatan Menyeluruh
Usaha menangani krisis kesihatan mental memerlukan pendekatan menyeluruh dan bersepadu. Institusi keselamatan dan kesihatan perlu memperkukuh sistem sokongan psikososial dalaman, menyediakan kaunseling rahsia dan talian bantuan 24 jam, serta memperkenalkan latihan pengurusan stres secara berkala.
Selain intervensi profesional, perubahan budaya organisasi juga amat penting. Budaya kerja yang terlalu menekan perlu digantikan dengan suasana yang lebih empati, terbuka dan menyokong kesejahteraan anggota.
Kerjasama erat antara KKM, Kementerian Pertahanan dan Kementerian Dalam Negeri, sistem kesihatan mental nasional dapat diperluas dengan lebih berkesan dalam kalangan pasukan keselamatan negara.
Kesimpulan
Ancaman kesihatan mental dalam kalangan barisan hadapan bukan lagi isu kecil atau terpencil. Ia kini menjadi komponen penting dalam menjamin kestabilan negara dan kesejahteraan rakyat. Belanjawan MADANI 2026 jelas menunjukkan kesungguhan kerajaan dalam memastikan mereka yang menjaga keselamatan dan kesihatan rakyat turut dijaga kesejahteraannya.
Kesejahteraan jiwa anggota bukan hanya soal kebajikan tetapi prasyarat kepada negara yang kuat, stabil dan berperikemanusiaan. Di sebalik setiap uniform dan tanggungjawab besar, terdapat insan yang juga perlu dilindungi, dihargai dan diberi ruang untuk bernafas dengan tenang.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Dr. Raja Mayang Delima Mohd Beta
Pensyarah Kanan
Fakulti Pengurusan dan Perniagaan
Universiti Teknologi MARA (UiTM), Negeri Sembilan