SAUDARA PENGARANG
Desawarsa ini, gejala buli siber semakin menular dalam era digital kini. Akibatnya, ia memberi impak yang mendalam terhadap kesejahteraan mental dan emosi si mangsa. Jika teknologi ini tidak dimanfaatkan dengan betul, ia akan membuka ruang kepada tindakan negatif seperti buli siber dan ancaman lain.
Namun, asas agama yang kukuh dapat menjadi benteng berkesan dalam membendung masalah ini. Penghayatan terhadap ajaran agama, yang menekankan nilai moral dan etika, dapat membentuk individu bertanggungjawab dan menghormati hak orang lain, baik dalam dunia nyata mahupun maya.
1. Penerapan Nilai Moral dalam Agama
Agama memberikan panduan jelas mengenai moral dan etika yang perlu diterapkan dalam kehidupan seharian. Dalam Islam, misalnya, terdapat larangan keras untuk menghina atau merendah-rendahkan orang lain seperti tercatat dalam Surah Al-Hujurat, ayat 11. Ajaran ini turut menekankan pentingnya menjaga hubungan yang harmoni dan tidak memudaratkan orang lain melalui lisan atau perkataan mahupun tindakan.
Dengan memahami nilai-nilai ini, individu akan lebih berhati-hati dalam bertindak dan berkomunikasi, terutamanya dalam dunia maya, di mana kesan perbuatan boleh memberi impak besar kepada mangsa. Oleh itu, asas agama yang mengajar tentang menghormati sesama manusia menjadi benteng utama dalam mencegah penularan buli siber.
2. Bertanggungjawab dalam Penggunaan Teknologi
Salah satu prinsip utama dalam agama adalah untuk menggunakan segala anugerah yang diberikan Allah SWT dengan bijaksana. Dalam konteks teknologi, ini bermakna individu perlu menggunakan platform digital dengan penuh rasa tanggungjawab, bukannya untuk menyakiti atau mencemarkan reputasi orang lain.
Agama mengajar umatnya untuk tidak menyebarkan kebencian, fitnah, atau kata-kata yang memudaratkan orang lain. Sebagai contoh, dalam ajaran Islam, setiap tindakan perlu dilandaskan kepada niat yang ikhlas untuk kebaikan dan bukan untuk merosakkan orang lain.
Dengan berpegang kepada prinsip ini, individu lebih cenderung untuk menggunakan media sosial dan teknologi komunikasi untuk tujuan positif, seperti berkongsi ilmu, menyampaikan dakwah, membina hubungan, dan menyebarkan kebaikan. Pendidikan agama yang memberi penekanan kepada etika digital juga dapat memainkan peranan dalam memastikan teknologi digunakan secara bertanggungjawab.
3. Kekuatan Niat dan Doa Membentuk Tindakan Positif
Niat yang baik adalah teras dalam setiap tindakan. Dalam Islam, konsep niat yang betul untuk mendapatkan keredhaan Allah mendorong umatnya untuk sentiasa berusaha dalam melakuka kebaikan dan menjauhi perbuatan yang boleh merosakkan orang lain. Begitu juga dengan doa, yang menjadi salah satu cara untuk meminta petunjuk dan bimbingan dalam membuat keputusan yang betul, termasuk dalam berinteraksi di dunia maya.
Buli siber sering kali berlaku apabila individu bertindak tanpa menyedari kesan negatifnya terhadap mangsa. Dengan berpegang kepada ajaran agama yang mengingatkan tentang pentingnya menjaga hubungan sesama manusia, individu akan lebih berhati-hati dalam perkataan dan tindakan mereka, serta lebih cenderung untuk menghindari perbuatan yang boleh merosakkan perasaan dan kehormatan orang lain.
4. Pendidikan Agama Sebagai Langkah Pencegahan
Salah satu langkah penting dalam mengurangkan penularan buli siber adalah dengan memperkukuh pendidikan agama di sekolah-sekolah dan institusi pendidikan di Malaysia. Melalui pendidikan agama yang berfokus kepada pembangunan moral dan etika, pelajar dapat dibimbing untuk mengenal pasti perbuatan salah dan belajar cara berinteraksi dengan bijak di ruang maya.
Program kesedaran mengenai etika digital yang disokong oleh prinsip-prinsip agama dapat memberikan pengetahuan lebih mendalam tentang kesan tindakan dalam talian terhadap orang lain. Selain itu, masyarakat secara keseluruhan perlu menyokong inisiatif ini dengan memupuk nilai-nilai agama melalui aktiviti sosial dan komuniti yang memberi tumpuan kepada pembangunan karakter dan akhlak terutamanya kepada kanak-kanak dan remaja.
Sebagai kesimpulan, buli siber adalah ancaman serius dalam dunia digital, dan memerlukan pendekatan holistik untuk mengatasinya. Asas agama memainkan peranan penting dalam membentuk individu beretika, berintegriti, bertanggungjawab, dan menghormati hak orang lain.
Dengan menanamkan nilai-nilai agama yang mengutamakan kasih sayang, kesopanan, dan tanggungjawab, kita dapat mencipta persekitaran digital yang lebih harmoni dan bebas daripada budaya buli siber. Oleh itu, asas agama bukan sahaja dapat mengelakkan penularan buli siber tetapi juga membina masyarakat yang lebih harmoni dan berperikemanusiaan.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.
Dr. Nadiah Ramlan
Pensyarah Kanan
Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah,
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)