
KEMAMAN, 12 Jun – Seorang warga emas maut manakala seorang remaja cedera parah dalam nahas membabitkan dua motosikal di sini, semalam.
- Kejadian di Jalan Felda Neram Satu menuju Felda Bukit Kuantan kira-kira pukul 3:31 petang.
- Warga emas dipercayai membelok kanan masuk kawasan kedai makan ketika remaja 17 tahun cuba memotong lalu merempuh motosikal mangsa.
- Abd Ghani, 81, disahkan meninggal dunia; remaja patah kaki kiri. Kedua-duanya dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan.
- Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987; Ketua Polis Daerah mengesahkan menerima laporan.
Kemalangan berlaku di Jalan Felda Neram Satu menuju ke Felda Bukit Kuantan, kira-kira pukul 3:31 petang.
Siasatan awal mendapati, warga emas terbabit yang menunggang motosikal dari rumahnya dipercayai sedang membelok ke kanan untuk memasuki kawasan kedai makan berhampiran.
Pada masa sama, motosikal ditunggang remaja berumur 17 tahun datang dari arah sama cuba memotong namun gagal lalu merempuh bahagian kanan motosikal mangsa.
Akibat pelanggaran itu, kedua-dua penunggang tercampak dan mengalami kecederaan sebelum dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk mendapatkan rawatan.
Bagaimanapun, Abd Ghani Abd Rahman, 81, yang mengalami kecederaan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan pada pukul 5:25 petang.
Remaja terbabit mengalami patah pada kaki kiri.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Mohd Razi Rosli ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan kejadian itu.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.