
TUMPAT, 12 Jun – Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya menggagalkan cubaan menyeludup hampir satu tan minyak masak bersubsidi yang dipercayai cuba dibawa ke Thailand dalam operasi di Kampung Simpangan, Tumpat semalam.
- Rampasan 816 kg DW7 dan 153 kg jenama 707 serta sebuah Mitsubishi Pajero; seorang lelaki ditahan.
- Suspek, 35, mengaku menerima upah RM50 setiap penghantaran dan mengambil bekalan dari kenderaan ditinggalkan di Cabang Empat Tok Mekngah.
- Kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan diserahkan kepada KPDN Kota Bharu; rondaan sempadan dipertingkatkan.
Rampasan dilakukan menerusi Op Taring Wawasan Kelantan oleh anggota Strike Force Sektor C Pengkalan Kubor, Kompeni C Batalion 8 PGA Pengkalan Chepa dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kota Bharu.
Komander Briged Tenggara dalam satu kenyataan memaklumkan, serbuan dijalankan kira-kira pukul 1:45 tengah hari di sekatan pintas Pos PK 4, Kampung Simpangan selepas anggota PGA menahan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Pajero yang dipandu seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan.
Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan itu menemukan 816 kilogram (kg) minyak masak kelapa sawit jenama DW7 serta 153kg minyak masak sawit jenama 707 yang dipercayai untuk diseludup ke negara jiran.
Seorang lelaki berusia 35 tahun ditahan bagi membantu siasatan.
Turut dirampas sebuah Mitsubishi Pajero yang digunakan untuk mengangkut bekalan tersebut.
Jumlah keseluruhan nilai rampasan termasuk kenderaan dianggarkan berjumlah RM32,422.50.
Menurut kenyataan itu, suspek mengaku mengambil upah sebanyak RM50 bagi setiap penghantaran untuk membawa minyak masak berkenaan daripada seorang individu sebelum menghantarnya ke kawasan pengkalan haram sekitar Kampung Simpangan, Tumpat.
Suspek juga mengaku mengambil bekalan minyak masak tersebut daripada sebuah kenderaan yang ditinggalkan di tepi jalan di Cabang Empat Tok Mekngah sebelum meneruskan penghantaran ke lokasi yang ditetapkan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan telah diserahkan kepada KPDN Kota Bharu untuk tindakan lanjut.
Pihak berkuasa memaklumkan rondaan serta pemantauan akan terus dipertingkat bagi membanteras aktiviti pembolosan dan penyeludupan barangan kawalan di kawasan sempadan negara.