Wanita tidak hormati Ramadan, disiasat

Tangkap layar video tular wanita minum air ketika siaran langsung di TikTok

SEREMBAN, 25 Februari– Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) sedang menyiasat dakwaan seorang wanita dipercayai tidak menghormati bulan Ramadan menerusi siaran langsung di akaun TikTok miliknya pada Ahad lepas.

RINGKASAN BERITA AI
  • JHEAINS menyiasat wanita 27 tahun ditahan atas dakwaan menghina Islam selepas video siaran langsung menunjukkan dia makan dan minum semasa Ramadan.
  • Perbuatan itu disiasat di bawah Seksyen 50 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992.
  • Orang ramai diingatkan menghormati sensitiviti agama dan memuliakan Ramadan dengan tingkah laku terpuji.

Pengarah JHEAINS Datuk Mohd Asri Abdullah berkata wanita berusia 27 tahun itu ditahan di Kuala Pilah semalam, dan kini disiasat bawah Seksyen 50 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992 atas kesalahan menghina atau mencela agama Islam.

Beliau berkata hasil penelitian terhadap video tular berkenaan mendapati wanita itu berinteraksi secara langsung dengan pengikutnya kira-kira 6.45 petang.

“Semasa siaran langsung itu, individu berkenaan didapati secara terbuka makan dan minum,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohd Asri berkata orang ramai khususnya umat Islam dinasihatkan supaya lebih peka terhadap sensitiviti agama serta memuliakan Ramadan dengan mengamalkan sikap dan tingkah laku terpuji selaras dengan tuntutan agama Islam.

Beliau berkata JHEAINS komited memastikan setiap urusan berkaitan umat Islam di negeri ini diurus dengan tertib, penuh hikmah dan berlandaskan syariat Islam serta undang-undang yang berkuat kuasa.

Terdahulu, tular di media sosial memaparkan seorang wanita didakwa minum air secara terbuka ketika berinteraksi bersama pengikutnya ketika sedang bersiaran langsung (live) menerusi TikTok. -BERNAMA