
KUCHING, 10 Februari – Seorang wanita tempatan kerugian RM1.5 juta selepas terperdaya dengan sindiket penipuan panggilan telefon yang menyamar sebagai pihak berkuasa.
- Mangsa dihubungi sindiket menyamar sebagai pegawai polis, mendakwa nombor digunakan untuk penipuan.
- Panggilan kononnya disambung ke Ibu Pejabat Polis Kajang dan mendakwa mangsa terlibat pengubahan wang haram.
- Suspek mengarahkan 18 pindahan wang ke tujuh akaun berbeza, menyebabkan kerugian besar.
- Mangsa sedar penipuan selepas perbualan WhatsApp dipadam dan membuat laporan polis; kes disiasat bawah Seksyen 420.
Ketua Polis Daerah Kuching, Penolong Pesuruhjaya Polis ACP Alexson Naga Chabu berkata, mangsa berusia 47 tahun itu dihubungi suspek pada Disember lalu yang menyamar sebagai pegawai polis dari Bukit Aman, mendakwa nombor telefon mangsa digunakan bagi tujuan penipuan.
Menurut beliau, mangsa semakin terjerat apabila panggilan tersebut kononnya disambungkan ke Ibu Pejabat Polis Kajang dan dimaklumkan bahawa dirinya terlibat dalam kes pengubahan wang haram.
“Mangsa kemudian berhubung dengan beberapa individu lain yang menyamar sebagai pegawai polis dan pihak mahkamah, sebelum dimaklumkan kononnya terlibat dalam kes jenayah,” katanya dalam satu kenyataan.
Suspek seterusnya mengarahkan mangsa melakukan 18 transaksi pindahan wang ke tujuh akaun bank berbeza.
Mangsa hanya menyedari dirinya ditipu apabila mendapati semua perbualan melalui aplikasi WhatsApp telah dipadamkan pada 1 Februari lalu, sebelum tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching semalam.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan berkaitan kesalahan penipuan.