
MIRI, 22 Mac – Seorang wanita maut manakala dua lagi cedera dalam kemalangan melibatkan sebuah kereta dan kenderaan pacuan empat roda di lampu isyarat Vista Perdana, Miri awal pagi tadi.
- Wanita berusia 23 tahun disahkan meninggal dunia oleh KKM selepas dikeluarkan dari Perodua Bezza menggunakan stretcher.
- Seorang lagi penumpang Bezza dan pemandu kenderaan pacuan empat roda dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.
- JBPM Sarawak menerima panggilan 3.05 pagi; pasukan BBP Lopeng tiba 3.14 pagi, operasi tamat 4.15 pagi.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak memaklumkan mangsa berusia 23 tahun itu telah disahkan meninggal dunia oleh Kementerian Kesihatan (KKM) yang berada di lokasi kejadian.
“Pasukan bomba telah mengeluarkan mangsa yang berada dalam kenderaan Perodua Bezza dengan menggunakan stretcher dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Mayat kemudiannya diserahkan pada polis untuk tindakan lanjut,” menurut JBPM Sarawak dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya seorang lagi mangsa dalam kenderaan Perodua Bezza serta pemandu kenderaan pacuan empat roda itu telah dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.
JBPM Sarawak memaklumkan telah menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 3.05 pagi dan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lopeng telah digerakan ke lokasi dan tiba pada 3.14 pagi sebelum operasi ditamatkan pada 4.15 pagi. – BERNAMA