
NILAI, 4 Mac – Seorang wanita warga asing berusia lingkungan 30-an ditemukan maut dalam keadaan berlumuran darah di tangga tingkat empat sebuah asrama pekerja asing di sini, pada Isnin.
- Wanita warga asing ditemukan maut dengan kecederaan kelaran di leher di asrama pekerja asing.
- Kes diklasifikasikan bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
- Forensik sahkan kelaran berulang dipercayai menggunakan senjata tajam; motif masih disiasat.
- Orang ramai diminta beri maklumat kepada polis dan elak spekulasi yang mengganggu siasatan.
Ketua Polis Daerah Nilai, Penguasa Polis Supt Johari Yahya berkata, pihaknya menerima panggilan daripada MERS 999 pada pukul 11.21 malam memaklumkan penemuan mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Jelasnya, pemeriksaan awal di lokasi kejadian mendapati mangsa mengalami kecederaan kelaran di bahagian leher dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya dalam satu kenyataan.
Pemeriksaan forensik oleh Bahagian D10, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan mendapati terdapat kesan kelaran berulang pada leher mangsa yang dipercayai menggunakan senjata tajam.
Setakat ini, motif kejadian masih dalam siasatan. Bagaimanapun, polis tidak menolak kemungkinan wujud unsur konflik peribadi atau kewangan berdasarkan keterangan awal yang diperoleh.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai di talian 06-7904222 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Dalam pada itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan dan memberi ruang kepada polis menjalankan siasatan secara profesional dan menyeluruh.