
ALOR SETAR, 27 Februari – Tujuh suspek terdiri daripada enam lelaki tempatan dan seorang wanita warga Thailand ditahan polis bagi membantu siasatan insiden tembakan ke arah kenderaan komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) di Bukit Kayu Hitam, Rabu lalu.
- Tujuh lelaki tempatan termasuk seorang wanita warga Thailand ditahan berkaitan tembakan ke arah kenderaan Komander AKPS.
- Dua suspek dikesan ada sisa tembakan pada tangan dan motosikal digunakan dalam kejadian dirampas.
- Lima suspek positif dadah; empat mempunyai rekod jenayah termasuk kes rogol, bunuh dan penyeludupan.
- Kes disiasat di bawah Akta Senjata Api 1971, Kanun Keseksaan dan undang-undang imigresen; beberapa suspek direman.
Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, dua daripada suspek yang ditahan menerusi Ops Api BKH dikesan mempunyai kesan sisa tembakan senjata api (gunshot residue – GSR) pada bahagian pipi dan tangan, selain turut ditemui pada motosikal yang digunakan dalam kejadian tersebut.
“Tangkapan dilakukan dalam tempoh kurang 24 jam hasil risikan selepas polis melaksanakan operasi besar-besaran bermula jam 10.30 pagi hingga 6 petang pada hari sama kejadian.
“Kesemua suspek berusia antara 22 hingga 52 tahun merupakan penduduk tempatan yang saling mengenali dan tinggal berhampiran lokasi kejadian,” katanya.
Jelas Datuk Adzli lagi, wanita warga Thailand itu ditahan bersama pasangannya di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Padang Besar selepas kedua-duanya didapati dalam keadaan mencurigakan serta beralamat di Bukit Kayu Hitam.
“Hasil pemeriksaan lanjut, polis merampas dua motosikal, sembilan telefon bimbit pelbagai jenama dan lima set pakaian dipercayai mempunyai kaitan dengan kes.
“Saringan awal air kencing mendapati lima suspek positif dadah jenis ketamin manakala seorang lagi positif methamphetamine,” kataya.
Semakan rekod jenayah pula mendapati empat suspek mempunyai rekod lampau melibatkan pelbagai kesalahan termasuk rogol di bawah Seksyen 376B Kanun Keseksaan, kes kastam, bunuh, kesalahan di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) serta Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).
Kes disiasat di bawah Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, Kanun Keseksaan serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Seramai lima suspek direman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah bermula Rabu lalu, manakala wanita warga Thailand itu direman selama 14 hari mengikut Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 bagi menyiasat ketulenan dokumen pengenalan dirinya.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.40 pagi Rabu, kenderaan dipandu Komander AKPS, SAC Mohd Nasaruddin Mohd Nasir ditembak berhampiran susur masuk Masjid Muhajirin, Bukit Kayu Hitam, kira-kira satu kilometer dari sempadan Malaysia–Thailand.
Dua suspek yang menaiki sebuah motosikal dipercayai melepaskan dua das tembakan menggunakan senjata separa automatik ke arah kenderaan mangsa.