Tiga kenderaan seleweng petrol disita

Antara kenderaan yang disita kerana diubah suai untuk penyelewengan petrol

IPOH, 27 Mac– Tiga kenderaan yang diubah suai bagi tujuan penyelewengan petrol disita dalam satu operasi di Pengkalan Hulu, Gerik.

RINGKASAN BERITA AI
  • Rampasan 450 liter petrol RON95 dan penahanan tiga lelaki tempatan berumur 60 hingga 70 tahun.
  • Modus operandi sindiket: mengisi petrol berulang kali di stesen sebelum membawa keluar bekalan ke negara jiran.
  • Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961; hukuman denda sehingga RM1 juta atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, tindakan dilakukan menerusi Op Tiris.

Jelas beliau, pihaknya turut merampas 450 liter petrol RON95 serta menahan tiga lelaki tempatan berumur 60 hingga 70 tahun.

Menurutnya, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM15,740.

“Modus operandi sindiket adalah dengan mengisi petrol di stesen minyak berhampiran secara berulang kali sebelum membawa keluar bekalan tersebut ke negara jiran,” katanya dalam kenyataan.

Operasi itu dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Gerik bagi memastikan pemeriksaan menyeluruh terhadap kenderaan terlibat.

Kes disiasat bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.