Tiga jurulatih PALAPES mengaku tidak bersalah sebabkan kematian kadet UTM

FOTO BERNAMA

KOTA TINGGI, 27 Februari – Tiga jurulatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menyebabkan kematian seorang Pegawai Kadet PALAPES Universiti Teknologi Malaysia (UTM), tahun lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tiga jurulatih PALAPES mengaku tidak bersalah atas tuduhan menyebabkan kematian kadet UTM.
  • Tertuduhan didakwa menimbulkan kecederaan membawa maut pada 28 Julai tahun lalu di Lapang Sasar Ulu Tiram Utara.
  • Mahkamah menetapkan jaminan RM20,000 setiap seorang dan sebutan semula kes pada 13 April.

Tertuduh, Mejar Mohd Azmi Abu Bakar, 40; Pegawai Waran Mohd Norbuang Ghani, 41; dan Kapten Muhammad Bahaudin Abd Rashid, 30, yang merupakan pegawai Angkatan Tentera Malaysia, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Hayda Faridzal Abu Hasan.

Mengikut pertuduhan, kesemua mereka didakwa bersama-sama melakukan perbuatan yang menyebabkan kematian Syamsul Haris Shamsudin, 22, dengan niat mendatangkan kecederaan yang boleh membawa maut.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 28 Julai tahun lalu antara pukul 2 petang hingga 3 petang di Lapang Sasar Ulu Tiram Utara, di sini.

Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 304(a) dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Terdahulu, pihak pendakwaan mencadangkan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin, namun mahkamah menetapkan jaminan RM20,000 bagi setiap tertuduh selepas mempertimbangkan rayuan pembelaan, selain mengarahkan pasport diserahkan kepada mahkamah.

Mahkamah menetapkan 13 April ini sebagai tarikh sebutan semula kes bagi pelantikan peguam dan serahan dokumen.