
KENINGAU, 3 September- Tiada kerosakan struktur, runtuhan, kebakaran atau kecederaan dilaporkan susulan gempa bumi lemah bermagnitud 3.4 yang melanda Keningau, Sabah, pagi tadi.
- Tujuh anggota BBP Keningau menjalankan rondaan dan pemeriksaan di empat lokasi bagi memastikan keselamatan susulan kejadian.
- Lokasi diperiksa: Bangunan G-MART Keningau; Bangunan Perabot Apollo; Pejabat Kesihatan Keningau; IPD Keningau.
- Orang ramai dinasihatkan berwaspada terhadap kemungkinan gegaran susulan dan segera memaklumkan pihak berkuasa jika berlaku kecederaan atau kerosakan.
- Operasi rondaan dan pemantauan tamat pada 11.05 pagi selepas semua lokasi didapati selamat dan terkawal.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau, Penolong Kanan Penguasa Bomba (PKPgB) Mohd Nidzam Sainkui berkata tujuh anggota telah menjalankan rondaan dan pemeriksaan di beberapa lokasi bagi memastikan keselamatan susulan kejadian itu.
“Pemeriksaan mendapati tiada kerosakan struktur pada bangunan yang diperiksa, selain tiada kejadian runtuhan, kebakaran atau kecederaan dilaporkan,” katanya.
Antara lokasi yang diperiksa ialah Bangunan G-MART Keningau, Bangunan Perabot Apollo, Pejabat Kesihatan Keningau dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau.
Beliau turut menasihatkan penduduk supaya berwaspada terhadap kemungkinan gegaran susulan serta segera memaklumkan kepada pihak berkuasa sekiranya berlaku kerosakan atau kecemasan.
Mohd Nidzam berkata operasi rondaan dan pemantauan tamat pada 11.05 pagi selepas keadaan di semua lokasi didapati selamat dan terkawal.