
BUKIT MERTAJAM, 26 Januari- Sebanyak 19 premis yang dijadikan pusat pengilangan dan pengedaran ubat tradisional secara haram di sekitar Bukit Mertajam diserbu dalam operasi bersepadu pagi tadi.
- Serbuan di 19 premis pengilangan dan pengedaran ubat tradisional Cina haram di sekitar Bukit Mertajam.
- Rampasan barangan bernilai RM24 juta, termasuk 88 jenis produk, 23,000 produk separuh siap dan mesin.
- Ujian awal menemui racun berjadual seperti steroid, penisilin dan allopurinol dalam beberapa produk.
- Tiga warga tempatan dan dua warga Bangladesh ditahan; sindiket beroperasi sejak 2020 menggunakan pekerja asing.
Operasi diketuai Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pulau Pinang dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berjaya merampas barangan bernilai RM24 juta.
Pengarah Kesihatan Negeri Pulau Pinang, Datuk Dr Fazilah Shaikh Allaudin berkata, ubat tradisional Cina yang ditemui tidak berdaftar dan melanggar Akta Jualan Dadah 1952 serta Akta Racun 1952.
“Serbuan ini merampas 88 jenis produk termasuk bahan mentah dan lebih 23,000 produk separuh siap, serta mesin pengilangan,” katanya.
Hasil ujian awal mendapati beberapa produk mengandungi racun berjadual seperti steroid, penisilin dan allopurinol.
Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Farmasi Kementerian Kesihatan (KKM), Mohd Zawawi Abdullah berkata, sindiket beroperasi sejak 2020 dan modus operandi mereka ialah mengagihkan pengilangan ke beberapa lokasi serta mengupah pekerja asing.
“Cara mereka mengedarkan proses pengilangan ini menyukarkan penguatkuasa mengesan aktiviti haram mereka,” ujarnya.
Dalam operasi itu, tiga warga tempatan dan dua warga Bangladesh ditahan untuk siasatan lanjut.