Sindiket seludup migran di Sekinchan dan Sabak Bernam tumpas

FOTO FACEBOOK POLIS SELANGOR

SHAH ALAM, 5 Mac – Polis Selangor menumpaskan kegiatan penyeludupan migran selepas menahan 42 individu, termasuk seorang tekong darat, menerusi dua operasi berasingan di Sekinchan dan Sabak Bernam, baru-baru ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Polis Selangor menahan 42 suspek termasuk seorang tekong darat dalam dua operasi di Sekinchan dan Sabak Bernam.
  • Operasi pertama di Sekinchan menemui tekong darat dan sembilan migran yang dipercayai masuk melalui laluan tidak diwartakan.
  • Operasi kedua menyerbu ladang kelapa sawit di Kampung Sekendi, menahan 32 migran termasuk tiga kanak-kanak.
  • Tekong disiasat bawah Seksyen 26A ATIPSOM; migran disiasat bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata tangkapan itu hasil operasi dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Selangor dalam usaha membanteras kegiatan penyeludupan migran di negeri berkenaan.

Dalam tangkapan pertama pada 2 Mac pada pukul 2.00 pagi, sepasukan polis dari Bahagian D7 JSJ menahan sebuah Perodua Alza berwarna hitam yang mencurigakan di sebuah stesen minyak di Pasir Panjang, Sekinchan.

“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat seorang lelaki warga tempatan yang bertindak sebagai tekong darat bersama sembilan migran bukan warganegara terdiri daripada enam lelaki dan tiga wanita yang dipercayai memasuki negara ini melalui laluan tidak diwartakan,” katanya.

Menurut beliau, kesemua suspek berusia antara 34 hingga 53 tahun.

Polis turut merampas sebuah kenderaan, satu rangkai kunci kereta, dua telefon bimbit serta sekeping kad pengenalan.

Sementara itu, tangkapan kedua dilakukan pada 5 Mac pada pukul 3.30 pagi menerusi operasi bersepadu yang melibatkan JSJ IPK Selangor, Unit Dron Pasukan Gerakan Udara (PGU) Bukit Aman, Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 19 serta Bahagian Siasatan Jenayah IPD Sabak Bernam.

Datuk Shazeli berkata selepas melakukan intipan selama kira-kira enam jam, polis menyerbu sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Sekendi, Sabak Bernam dan menahan sekumpulan migran yang dipercayai bersembunyi di kawasan itu.

“Hasil serbuan, 32 migran bukan warganegara ditahan membabitkan 15 lelaki, 14 wanita, seorang kanak-kanak perempuan dan dua kanak-kanak lelaki berusia antara satu hingga 52 tahun,” katanya.

Beliau berkata tiada barang kes dirampas dalam tangkapan kedua.

Menurutnya, lelaki warga tempatan yang dipercayai bertindak sebagai tekong darat disiasat di bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

Manakala migran yang ditahan disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

Polis akan terus mempergiat operasi bagi mengekang aktiviti jenayah rentas sempadan demi memastikan keselamatan dan kedaulatan negara sentiasa terpelihara.