Sindiket penyeludupan, pengedaran ketum di Kelantan tumpas

Hasil rampasan ketum dengan nilai keseluruhan berjumlah RM72,450 menerusi dua operasi berasingan di Kelantan

TUMPAT, 17 Januari – Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan dan pengedaran ketum membabitkan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM72,450 menerusi dua operasi berasingan di Kelantan, semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Briged Tenggara PGA menumpaskan sindiket penyeludupan dan pengedaran ketum melalui dua operasi berasingan di Kelantan.
  • Operasi pertama rampas 1,150 kg daun ketum, sebuah MPV; seorang wanita 29 tahun ditahan.
  • Operasi kedua rampas 15 liter air ketum; seorang lelaki 32 tahun ditahan bersama kereta dan telefon bimbit.
  • Kes diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Machang dan IPD Tumpat untuk siasatan lanjut.

Kejayaan itu dicapai hasil pelaksanaan Op Taring Mitra dan Op Taring Wawasan Kelantan yang dijalankan bagi membanteras aktiviti jenayah, khususnya penyeludupan dan pengedaran bahan terlarang di sepanjang sempadan Malaysia–Thailand.

Komander Briged Tenggara PGA, SAC Ahmad Radzi Hussain dalam kenyataan memaklumkan, dalam kes pertama, kira-kira 12.45 tengah hari, sepasukan pegawai risik Batalion 8 PGA bersama anggota risik daripada Batalion 7 dan Batalion 8 PGA melakukan operasi ke atas sebuah rumah di kampung Hutan Kuin Hilir Jalan Tanah Merah, Machang.

Hasil operasi menemui bungkusan daun ketum seberat 1,150 kilogram di bahagian belakang rumah berkenaan. Pemeriksaan lanjut turut mendapati sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) memiliki nombor casis yang tidak sepadan.

Seorang wanita tempatan berumur 29 tahun ditahan bagi membantu siasatan. Jumlah rampasan melibatkan daun ketum bernilai RM46,000 serta sebuah kenderaan bernilai RM15,000 menjadikan keseluruhan rampasan RM61,000.

Kes disiasat bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan Seksyen 108(3)(F) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara dalam kes kedua, pada pukul 3.30 petang, pasukan ‘strike force’ kompeni ‘B’ Batalion 7 PGA menerusi Op Taring Wawasan Kelantan menahan sebuah kenderaan mencurigakan di Jalan Bunohan, Tumpat.

Pemeriksaan ke atas kenderaan tersebut membawa kepada penemuan sepuluh botol air ketum dengan isipadu keseluruhan 15 liter yang disimpan di dalam sebuah beg berwarna kuning di bahagian tempat duduk belakang.

Seorang lelaki tempatan berumur 32 tahun ditahan bagi membantu siasatan. Rampasan turut melibatkan sebuah kereta dan sebuah telefon bimbit, dengan nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM11,450.

Air ketum terbabit dipercayai untuk dijual di sekitar daerah Tumpat. Kedua-dua tangkapan dan barang rampasan telah diserah kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Machang dan IPD Tumpat untuk siasatan dan tindakan lanjut.