Seludup tanduk dan tengkorak rusa, lelaki Perancis ditahan di KLIA2

Foto Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS)

SEPANG, 2 Februari – Cubaan menyeludup tanduk rusa dan tengkorak rusa berjaya digagalkan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2, semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • AKPS menggagalkan cubaan menyeludup tanduk dan tengkorak rusa di KLIA2 hasil pemeriksaan bagasi penerbangan ke Hanoi.
  • Seorang lelaki warganegara Perancis ditahan selepas ditemui membawa dua tanduk dan satu tengkorak tanpa dokumen sah.
  • Nilai sitaan dianggarkan RM3,000 dan kes disiasat bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 dan Akta Perdagangan Antarabangsa 2008.
  • Barang kes diserahkan kepada PERHILITAN; AKPS menegaskan kerjasama bersama agensi penguatkuasaan lain.

Unit Komunikasi Korporat AKPS dalam kenyataannya memaklumkan tindakan penguatkuasaan itu dilakukan kira-kira pukul 12 tengah hari, hasil pemeriksaan bagasi penumpang penerbangan yang dijadualkan berlepas ke Hanoi.

“Hasil pemeriksaan mendapati seorang lelaki warganegara Perancis membawa dua unit disyaki tanduk rusa dan satu unit disyaki tengkorak rusa tanpa kebenaran atau dokumen sah, dengan nilai sitaan dianggarkan RM3,000,” menurut kenyataan itu.

Suspek ditahan dan dibawa ke Balai Polis Aeropolis untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716] dan Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008 [Akta 686].

Menurut AKPS, semua barang kes diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) untuk tindakan selanjutnya.

“AKPS menegaskan komitmen berterusan untuk memperkukuh kerjasama bersama agensi penguatkuasaan lain dalam membanteras sebarang bentuk jenayah rentas sempadan, khususnya melibatkan pemerdagangan hidupan liar di pintu masuk antarabangsa negara,” tambah kenyataan itu.