Polis rampas 2,000 liter petrol, tahan lima lelaki di ICQS Bukit Kayu Hitam


Ketua Polis Kedah Datuk Adzli Abu Shah

KUBANG PASU, 19 Mac – Polis merampas kira-kira 2,000 liter petrol dipercayai cuba diseludup ke negara jiran serta menahan lima lelaki termasuk empat warga Thailand dalam sekatan jalan raya di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Operasi dijalankan oleh pegawai dan anggota IPD Kubang Pasu antara pukul 7 pagi hingga 8 pagi.
  • Pemeriksaan mengesan cubaan penyeludupan apabila kenderaan pacuan empat roda didapati berenjin diesel.
  • Suspek menggunakan kenderaan pikap diubah suai dengan tangki besi untuk membawa petrol secara tidak sah.
  • Semua tangkapan dan rampasan diserahkan kepada KPDN untuk siasatan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan 1974.

Ketua Polis Kedah Datuk Adzli Abu Shah berkata tangkapan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu antara pukul 7 pagi hingga 8 pagi.

“Menerusi pemeriksaan, cubaan menyeludup petrol berjaya dikesan apabila kenderaan pacuan empat roda digunakan suspek didapati berenjin diesel,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata siasatan awal mendapati suspek menggunakan lima kenderaan pikap bernombor pendaftaran Thailand yang diubah suai daripada spesifikasi asal dengan pemasangan tangki besi bagi membawa petrol secara tidak sah untuk diseludup ke Thailand.

Katanya, kesemua lelaki berusia antara 23 hingga 27 tahun itu ditahan untuk siasatan lanjut.

“Kesemua tangkapan dan rampasan diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Alor Setar dan Kubang Pasu untuk siasatan lanjut mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 serta Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974,” katanya.

Beliau turut memaklumkan ujian saringan awal air kencing mendapati kesemua suspek positif dadah.

Jumlah keseluruhan petrol dan kenderaan yang dirampas dianggarkan bernilai RM560,000.