Polis kesan 540 laluan haram di seluruh negara

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 12 Mac – Sebanyak 540 laluan haram telah dikenal pasti di seluruh negara sehingga Februari lepas, kata Ketua Polis Negara (KPN) Datuk Seri Mohd Khalid Ismail.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sempadan negara dieksploitasi untuk aktiviti jenayah rentas sempadan selain laluan perdagangan dan pergerakan manusia yang sah.
  • PDRM melaksanakan strategi keselamatan sempadan yang komprehensif, bersepadu dan berfasa selaras dengan keutamaan keselamatan negara.
  • Usaha termasuk rondaan darat, sungai dan maritim, perkongsian risikan, teknologi pengawasan canggih dan kerjasama antarabangsa bagi keselamatan pengunjung.

Beliau berkata laluan tersebut terdiri daripada 360 laluan darat dan 24 laluan maritim merentasi 10 negeri kecuali Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Terengganu dan Pahang.

“Malaysia mempunyai sempadan darat dan maritim yang luas dengan Thailand, Singapura, Indonesia, Brunei, Filipina, serta perairan antarabangsa di Laut China Selatan dan Laut Sulu

“Kawasan sempadan ini bukan sahaja berfungsi sebagai laluan perdagangan dan pergerakan manusia yang sah tetapi juga dieksploitasi untuk menjalankan aktiviti jenayah rentas sempadan,” katanya dalam ucapan beliau pada Majlis Iftar Ramadan bersama Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing, di sini, hari ini.

Ucapan Datuk Seri Mohd Khalid dibacakan oleh Timbalan Pengarah E3A, Cawangan Khas Bukit Aman, SAC Shaidatul Akmar Mohd Noor semasa sesi Tinjauan Keselamatan Negara di acara anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta Pelancongan Malaysia itu.

Datuk Seri Mohd Khalid berkata walaupun usaha mengekalkan keselamatan sempadan berdepan pelbagai cabaran, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menggunakan strategi keselamatan sempadan yang komprehensif, bersepadu dan berfasa, selaras dengan keutamaan keselamatan negara serta seiring dengan landskap geopolitik serantau yang sentiasa berubah.

Beliau berkata pendekatan itu berlandaskan prinsip pencegahan awal, penguatkuasaan ketat, kerjasama serantau dan pengurusan keselamatan mampan bagi memastikan sempadan negara kekal selamat.

“Bagi menangani isu laluan haram, PDRM telah memperhebat rondaan darat, sungai dan maritim secara bersepadu dengan agensi keselamatan lain, di samping memperkukuh kerjasama penguatkuasaan dan perkongsian maklumat dengan badan penguatkuasaan asing,” katanya.

Datuk Seri Mohd Khalid berkata PDRM bersama-sama agensi keselamatan lain terus giat menjalankan pemantauan di kawasan sempadan dan tempat tumpuan pelancongan bagi menjaga kesejahteraan pengunjung.

Beliau juga menekankan bahawa Malaysia telah memperkukuh rangka kerja keselamatannya melalui penggunaan teknologi pengawasan canggih, perkongsian risikan yang dipertingkatkan dan kerjasama erat antara agensi, disokong oleh perkongsian antarabangsa untuk bertindak balas secara berkesan terhadap ancaman yang muncul.

“Usaha proaktif ini memastikan Malaysia kekal sebagai destinasi yang selamat dan mesra untuk pengunjung,” katanya.- BERNAMA