PGA tahan 34 individu, rampas balak dan jentera RM16 juta di Pantai Timur

Foto PGA

KOTA BHARU, 17 Mac- Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan 34 individu serta merampas pelbagai jenis kayu balak, produk kayu, jentera dan mesin dianggarkan bernilai RM16.8 juta dalam serbuan serentak di seluruh Pantai Timur pada Isnin.

RINGKASAN BERITA AI
  • Operasi serentak di 11 kilang sawmill di Kelantan, Terengganu dan Pahang dilaksanakan oleh tiga batalion PGA.
  • Pelbagai kesalahan dikesan di bawah Akta Perhutanan, Enakmen Industri Berasaskan Kayu dan Akta Imigresen.
  • Operasi Bersepadu Khazanah dijalankan bersama PBT, Jabatan Perhutanan Negeri dan LHDN; warga asing diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Komander Briged Tenggara, SAC Ahmad Radzi Hussain berkata operasi di 11 kilang sawmill itu dijalankan serentak oleh tiga batalion membabitkan Batalion 7, 8 dan 9 di Kelantan, Terengganu dan Pahang.

Beliau memaklumkan, lima serbuan dilakukan di Kelantan dan tiga di Pahang, manakala tiga lagi di Terengganu tidak dapat diperiksa kerana tidak beroperasi.

Seramai 34 individu yang ditahan terdiri daripada 28 warga tempatan dan enam warga asing, melibatkan pelbagai kesalahan di bawah Seksyen 84 Akta Perhutanan Negara 1984, Seksyen 3(2) Enakmen Industri Berasaskan Kayu 1985 serta Akta Imigresen 1959/63.

Operasi khas dikenali sebagai Operasi Bersepadu Khazanah itu dilaksanakan kira-kira pukul 11.00 pagi dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Perhutanan Negeri dan Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN).

Enam warga asing terbabit iaitu empat warga Myanmar dan dua warga Indonesia diserahkan kepada pihak polis di daerah lokasi serbuan untuk tindakan lanjut.

Bagi kesalahan di bawah Akta Perhutanan, kebanyakannya didapati tidak mempunyai lesen sah daripada Jabatan Perhutanan Negeri.

Selain itu, pihak berkuasa turut merampas pelbagai jenis kayu balak, produk kayu, jentera dan mesin yang dianggarkan bernilai RM16,843,130.

Ahmad Radzi menegaskan, tindakan tegas akan terus diambil bagi membanteras aktiviti pembalakan dan pemprosesan kayu haram yang bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah menjejaskan khazanah hutan negara.