
KUANTAN, 26 Mac -Seorang pesara kerugian RM328,450.88 selepas menjadi mangsa sindiket penipuan ‘phone scam’ yang menyamar sebagai pegawai polis dari Putrajaya baru-baru ini.
- Suspek menyamar pegawai polis melalui panggilan WhatsApp, mendakwa mangsa terlibat jenayah dan mengugut penahanan.
- Mangsa diarahkan membuka dua akaun bank baharu untuk kononnya pemantauan transaksi, kemudian menyerahkan maklumat perbankan.
- Mangsa memindahkan simpanan ke akaun berkenaan; semua wang hilang dan suspek gagal dihubungi.
- Polis nasihatkan orang ramai semak dengan agensi rasmi, jangan akur tuntutan segera; lapor NSRC di talian 997 jika menjadi mangsa.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman dalam satu kenyataan berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Pahang menerima laporan daripada lelaki yang berusia 64 tahun itu di Daerah Rompin.
Menurut beliau, mangsa pada mulanya menerima panggilan melalui aplikasi WhatsApp daripada suspek pada 4 Februari lepas yang mendakwa warga emas berkenaan terlibat dalam kes jenayah penipuan dan bakal ditangkap.
“Mangsa kemudian diarahkan membuka dua akaun bank baharu bagi tujuan kononnya pemantauan transaksi kewangan oleh pihak polis serta membantu siasatan.
“Terpedaya, mangsa telah memindahkan wang simpanannya berjumlah RM128,208.88 dan RM200,242.00 ke dalam akaun-akaun berkenaan pada 5 Februari selain menyerahkan maklumat perbankan kepada suspek,” katanya.
Mangsa hanya menyedari dirinya diperdaya selepas membuat semakan pada semalam (25 Mac) dan mendapati kesemua wang di dalam akaun tersebut telah lesap, manakala suspek gagal dihubungi.
Susulan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar segera membuat semakan dengan pihak polis atau agensi kerajaan berkaitan, jika menerima panggilan meragukan bagi mengelakkan daripada menjadi mangsa penipuan.
Katanya, sebarang panggilan yang mendakwa mangsa terlibat kes jenayah dan mendesak tindakan segera seperti membuka akaun bank atau memindahkan wang adalah taktik sindiket phone scam.
Beliau turut menyarankan orang awam yang mengesyaki diri mereka menjadi mangsa penipuan untuk segera menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997.