Penjawat awam rugi RM342,400 diperdaya sindiket ‘phone scam’

Gambar Fail

KUANTAN, 10 Mac– Seorang penjawat awam menanggung kerugian berjumlah RM342,400 selepas dipercayai menjadi mangsa sindiket penipuan panggilan telefon (phone scam) yang menyamar sebagai pihak berkuasa.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sindiket menyamar ejen insurans, pegawai polis dan Timbalan Pendakwa Raya untuk menakutkan mangsa dan menuntut bayaran ikat jamin
  • Mangsa membuat pinjaman peribadi, menukar kad bank dan mengemas kini nombor telefon mengikut arahan suspek untuk membantu siasatan palsu
  • Hanya selepas menerima surat peguam mengenai notis kebankrapan, mangsa menyedari akaun dikosongkan melalui pemindahan tanpa pengetahuan

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman dalam satu kenyataan memaklumkan, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Pahang menerima laporan daripada seorang lelaki tempatan berusia 43 tahun dari daerah Pekan berkaitan kes tersebut.

Rentetan kejadian bermula pada penghujung tahun 2024 apabila mangsa menerima panggilan daripada individu yang menyamar sebagai ejen insurans mengenai tuntutan perubatan yang tidak pernah dibuatnya.

Panggilan tersebut kemudian disambungkan kepada suspek lain yang menyamar sebagai pegawai polis dan mendakwa mangsa mempunyai waran tangkap berkaitan kes pengubahan wang haram serta rasuah.

Mangsa kemudiannya dihubungi individu yang menyamar sebagai pegawai Timbalan Pendakwa Raya yang menawarkan penyelesaian kes dengan syarat mangsa perlu membuat bayaran ikat jamin sebanyak RM320,000.

Bagi tujuan itu, mangsa telah membuat pinjaman peribadi daripada sebuah institusi perbankan tempatan selain mengikut segala arahan suspek, termasuk membuat kad bank baharu serta mengemas kini nombor telefon kononnya bagi membantu siasatan.

Sepanjang tempoh 2024 hingga 2025, mangsa terus dihubungi suspek yang menyamar sebagai pegawai pihak berkuasa dan diarahkan agar tidak mendedahkan perkara tersebut kepada mana-mana pihak kerana siasatan kononnya dijalankan secara sulit.

Mangsa hanya mula berasa curiga pada Januari 2026 selepas menerima surat daripada peguam yang memintanya hadir ke Mahkamah Tinggi Kuantan berkaitan notis kebankrapan.

Pada Mac 2026, mangsa melakukan semakan terhadap akaun bank miliknya dan mendapati wang simpanannya telah berkurang sebanyak RM342,400 hasil pemindahan wang secara berperingkat tanpa pengetahuannya.

Mangsa cuba menghubungi semula individu berkenaan namun gagal sebelum menyedari dirinya telah diperdaya.