Pengarah syarikat ditahan disyaki terima rasuah RM100,000

Foto BERNAMA

SHAH ALAM, 11 Mac – Seorang Pengarah Syarikat ditahan disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM100,000 daripada sebuah syarikat pemaju hartanah.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tanah milik bekas pekerja ladang dipercayai digunakan untuk pembangunan komersial tanpa kebenaran mereka.
  • Suspek dipercayai memindahkan tanah seluas lapan ekar milik 136 pekerja antara 2020 hingga 2025 tanpa pengetahuan mereka.
  • Suspek dikatakan menerima beberapa bayaran rasuah termasuk kira-kira RM5 juta hasil pengambilan tanah.
  • Kes disiasat bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 dan suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam untuk permohonan reman.

Kes tersebut membabitkan tanah milik bekas pekerja sebuah ladang di Selangor yang dipercayai digunakan untuk pembangunan komersial tanpa kebenaran mereka.

Sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan, suspek, lelaki berusia lingkungan 60-an, ditahan pada pukul 12.20 tengah hari ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Selangor.

Siasatan awal mendapati suspek dipercayai menyerahkan tanah seluas lapan ekar milik 136 pekerja ladang tanpa pengetahuan mereka antara tahun 2020 hingga 2025.

Selain itu, suspek dikatakan menerima beberapa bayaran rasuah sepanjang tempoh tersebut, termasuk kira-kira RM5 juta hasil pengambilan tanah berkenaan.

Pengarah SPRM Selangor, Mohd Azwan Ramli, mengesahkan penahanan suspek dan berkata kes disiasat bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

“Suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam esok untuk permohonan reman bagi membolehkan siasatan lanjut,” jelas beliau.