Pendakwaan panggil tujuh saksi kes dron warga China di kawasan larangan MINDEF

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR, 2 April – Pihak pendakwaan dijangka memanggil tujuh saksi dalam perbicaraan kes dua lelaki warga China yang didakwa mengambil gambar dari udara menggunakan dron di kawasan larangan Kementerian Pertahanan (MINDEF), Ogos tahun lepas.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Hakimie Ab Hadi memaklumkan perkara itu kepada Hakim Mahkamah Sesyen Suhaila Haron ketika pengurusan kes hari ini.

“Pihak pendakwaan akan menyediakan pernyataan saksi kepada pihak pembelaan,” katanya.

Mahkamah menetapkan perbicaraan pada 29 dan 30 April serta 3 dan 4 Jun ini. Sementara itu, tarikh 27 dan 28 April dilapangkan, manakala keputusan di akhir kes pendakwaan dijangka pada 30 Jun.

Turut hadir pada prosiding itu ialah peguam Ooi Hong Ming yang mewakili Li Luorong, 27, dan Chen Junhao, 20.

Sebelum ini, Jabatan Peguam Negara (AGC) menolak representasi yang dikemukakan kedua-dua tertuduh bagi mengkaji semula pertuduhan.

Bagi pertuduhan pertama, kedua-dua tertuduh didakwa bersama-sama, dengan niat mendapatkan maklumat rasmi yang boleh memudaratkan keselamatan negara, iaitu mengambil gambar pandangan udara menggunakan dron jenis DJI Mavic 3 Enterprise di kawasan yang diwartakan sebagai kawasan larangan tanpa kebenaran.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Padang Bola B, MINDEF, Jalan Padang Tembak di sini pada 11.50 pagi, 6 Ogos 2025.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 3(a) Akta Rahsia Rasmi 1972 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup, jika sabit kesalahan.

Mereka turut didakwa mengambil gambar dari udara menggunakan dron jenis sama bagi maksud menjalankan kerja ukur atau pemetaan tanpa kebenaran pihak berkuasa di lokasi, tarikh dan masa yang sama.

Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 4(1) Akta Rahsia Rasmi 1972 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 14 tahun, jika sabit kesalahan. – BERNAMA