
JOHOR BAHRU, 13 Januari — Seorang pemandu treler mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian seorang lelaki di Lebuhraya Link Kedua, Iskandar Puteri, awal Januari lalu.
- Pemandu treler Muhammad Nazri Barahama mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memandu secara melulu menyebabkan kematian.
- Kematian mangsa, penunggang motosikal Khairul Irfan Mohd Nizam, berlaku di Km 11.5 Lebuhraya Link Kedua pada 8 Januari.
- Tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan diarahkan lapor diri setiap bulan; lesen digantung sementara.
- Kes dikendalikan oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Johor dan disebut semula pada 24 Februari untuk serahan dokumen.
Tertuduh, Muhammad Nazri Barahama, 34, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Nur Fatin Mohamad Farid.
Mengikut pertuduhan, tertuduh yang memandu sebuah treler didakwa menyebabkan kematian penunggang motosikal, Khairul Irfan Mohd Nizam, 30.
Dia melakukan kesalahan itu dalam kejadian di Kilometer 11.5 Lebuhraya Link Kedua, Iskandar Puteri, pada 8 Januari lalu, kira-kira pukul 4.40 petang.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan 2020), yang boleh dihukum di bawah seksyen sama akta berkenaan.
Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa dari Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Johor, Inspektor S. Vikineswari, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin, selain diarahkan melapor diri sebulan sekali di balai polis berhampiran serta lesen memandunya digantung sehingga kes selesai.
Mahkamah menetapkan 24 Februari depan bagi sebutan semula kes untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.