Pemandu positif dadah rempuh enam kenderaan di Sibu

Gambar Fail

SIBU, 13 Mac– Seorang lelaki tempatan berusia 24 tahun ditahan selepas dipercayai memandu di bawah pengaruh dadah sehingga menyebabkan kemalangan membabitkan tujuh kenderaan di Jalan Wong Soon Kai, malam tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kereta gagal berhenti di lampu isyarat kira-kira 9.55 malam lalu merempuh enam kenderaan di hadapan.
  • Tiada kecederaan serius dilaporkan, namun kesemua kenderaan yang terlibat mengalami kerosakan teruk.
  • Ujian air kencing positif amphetamine; kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan boleh dikenakan hukuman berat.

Pemangku Ketua Polis Daerah Sibu, Superintenden Boniface Bajai dalam satu kenyataan memaklumkan kejadian berlaku kira-kira pukul 9.55 malam apabila kereta jenis sedan yang dipandu suspek dipercayai gagal berhenti di lampu isyarat lalu merempuh enam kenderaan lain di hadapannya.

Meskipun kemalangan tersebut tidak melibatkan kecederaan serius, kesemua kenderaan yang terlibat dilaporkan mengalami kerosakan teruk.

Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis Amphetamine dan kini ditahan bagi membantu siasatan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya.

Jika sabit kesalahan, pelaku boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun, denda antara RM5,000 hingga RM15,000 serta hilang kelayakan memegang lesen memandu bagi tempoh sekurang-kurangnya dua tahun.