Pekerja taska didakwa mengikut 302 Kanun Keseksaan bunuh bayi empat bulan

Pekerja pusat asuhan atau taska Nur Farhana Fazmar Abdullah didakwa di Mahkamah Majistret hari ini atas pertuduhan membunuh seorang bayi lelaki berusia empat bulan, minggu lepas/Foto BERNAMA

BUKIT MERTAJAM, 19 Mac – Seorang pekerja pusat asuhan atau taska didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang bayi lelaki berusia empat bulan, minggu lepas.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan: hukuman mati atau penjara maksimum 40 tahun, dan sebatan tidak kurang 12 kali.
  • Mahkamah tidak membenarkan jaminan; sebutan semula ditetapkan 23 Jun untuk menunggu laporan kimia dan bedah siasat.
  • Seorang wanita lain yang ditahan dibebaskan dengan jaminan RM10,000 sebagai saksi pendakwaan.
  • Bedah siasat mengesahkan punca kematian bayi adalah lemas; mangsa disahkan meninggal 4.20 pagi selepas kira-kira sejam CPR.

Nur Farhana Fazmar Abdullah, 22, mengangguk faham sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Rasyidah Mohd Akit, namun tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Dia didakwa menyebabkan kematian seorang bayi di Taska Pintar Hospital Seberang Jaya (HSJ) di sini, antara 1 hingga 4 pagi, pada 9 Mac lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara maksimum 40 tahun dan sebatan tidak kurang 12 kali sekiranya tidak dijatuhi hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Nur Amalina Harun, manakala peguam Muhaimin Hashim mewakili tertuduh.

Mahkamah tidak membenarkan sebarang jaminan sebelum menetapkan 23 Jun sebagai tarikh sebutan semula untuk menunggu laporan kimia dan bedah siasat.

Sementara itu, seorang lagi wanita berusia 22 tahun yang sebelum ini ditahan bersama tertuduh bagi membantu siasatan dibebaskan dengan jaminan RM10,000 di mahkamah sama sebagai saksi pendakwaan.

Semalam, Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Azizee Ismail mengesahkan kematian bayi lelaki itu disebabkan lemas berdasarkan hasil bedah siasat.

Dalam kejadian itu, mangsa berusia empat bulan disahkan meninggal dunia pada 4.20 pagi, 9 Mac selepas dikejarkan ke Jabatan Kecemasan HSJ dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Difahamkan doktor melakukan resusitasi kardiopulmonari (CPR) selama kira-kira sejam sebelum mangsa meninggal dunia.

Bayi itu dihantar ke pusat asuhan yang beroperasi 24 jam oleh ibunya, seorang jururawat yang bertugas syif malam. – BERNAMA