Pegawai kanan ATM disyaki minta, terima rasuah RM150,000 direman enam hari

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 28 Januari – Seorang pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ditahan reman bagi membantu siasatan berhubung dakwaan meminta dan menerima rasuah kira-kira RM150,000.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pegawai kanan ATM direman enam hari untuk membantu siasatan kes rasuah.
  • Siasatan melibatkan dakwaan meminta dan menerima rasuah kira-kira RM150,000.
  • Rasuah dipercayai dibayar tunai oleh lima syarikat yang mendapat kontrak pembekalan.
  • Kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.

Perkara tersebut disahkan Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Melaka, Datuk Adi Supian Shafie.

Beliau berkata perintah reman selama enam hari sehingga 2 Februari 2026 dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh selepas permohonan dibuat SPRM, pagi tadi.

Menurut beliau, suspek lelaki berusia lingkungan 40-an itu ditahan kira-kira pukul 12.15 tengah hari semalam ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Melaka.

“Siasatan awal mendapati suspek yang ketika kejadian bertugas sebagai pegawai pemerintah di sebuah kem di negeri ini disyaki meminta dan menerima rasuah sebagai balasan memberikan kerja-kerja pembekalan bahan mentah bagi senggaraan stor, sekitar tahun 2024.” katanya.

Suspek dipercayai menerima wang rasuah secara tunai daripada lima syarikat yang memperoleh kerja pembekalan berkenaan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.