PDRM tumpaskan aktiviti penyimpanan dan penjualan minuman keras serta rokok tidak bercukai di Kemaman

FOTO FACEBOOK PASUKAN SIMPANAN PERSEKUTUAN

KEMAMAN, 22 Januari – Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Cawangan Risik Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) Bukit Aman berjaya menumpaskan beberapa aktiviti penyimpanan dan penjualan barangan tidak bercukai dalam beberapa serbuan berasingan di Kawasan Perindustrian Telok Kalong, Kemaman, Terengganu.

RINGKASAN BERITA AI
  • PSP Bukit Aman melakukan operasi bersepadu menumpaskan penyimpanan dan penjualan barangan tidak bercukai di Kemaman.
  • Tiga individu ditahan dalam beberapa serbuan, masing-masing di kedai makan, premis perniagaan dan lokasi industri.
  • Rampasan termasuk minuman keras dan rokok tidak bercukai bernilai keseluruhan melebihi RM153,000.
  • Kes diserahkan kepada JSJ IPD Kemaman dan disiasat di bawah Seksyen Akta Kastam berkaitan barangan tidak bercukai.

Menurut Komander Pasukan Simpanan Persekutuan, SAC Rosli Md Yusof , operasi bersepadu yang dijalankan pada 20 Januari lalu berjaya membawa kepada penahanan tiga individu dan rampasan minuman keras serta rokok disyaki tidak bercukai dengan nilai keseluruhan dianggarkan melebihi RM153,000.

Dalam serbuan pertama di seorang wanita tempatan berketurunan Cina berusia 48 tahun berjaya ditahan di sebuah kedai makan di kawasan perindustrian.

Pemeriksaan di premis berkenaan menemukan 74 kotak minuman keras tidak bercukai dengan nilai rampasan dianggarkan RM9,550.

Serbuan kedua pula dilakukan di sebuah premis perniagaan berhampiran Jalan Kemaman–Dungun yang membawa kepada penahanan seorang lelaki warganegara Malaysia berusia 53 tahun.

Pemeriksaan menemukan pelbagai jenis minuman keras termasuk bir, arak dan wain import bernilai RM111,258, selain rokok seludup pelbagai jenama bernilai RM12,336, menjadikan jumlah rampasan kes sebanyak RM123,594.

Kedua dua Premis didapati tidak memiliki lesen perniagaan yang sah bagi menjual minuman keras.

Manakala serbuan di lokasi ketiga di sebuah premis tidak bernombor dalam kawasan Eastern Steel, Jalan Kemaman–Dungun, polis berjaya menahan seorang lelaki warganegara China berusia 53 tahun dan merampas 102 kotak minuman keras tidak bercukai pelbagai jenama dengan nilai dianggarkan RM20,050.

Ujian saringan air kencing mendapati suspek negatif dadah dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Kesemua suspek bersama barang rampasan telah diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 serta Seksyen 15(1)(c) Akta Kastam 1959/63 kerana memiliki, menyimpan dan menjual barangan tidak bercukai.

Makan Sihat, Hidup Sihat: Bagaimana Ajinomoto (Malaysia) Berhad Membentuk Gaya Hidup Lebih Sihat di Malaysia

Artikel Tajaan