Papagomo akui silap, fitnah terhadap Fahmi tidak sepatutnya berlaku

Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 6 APRIL – Kes saman fitnah difailkan Datuk Fahmi Fadzil terhadap Wan Muhammad Azri Wan Deris atau lebih dikenali sebagai Papagomo pada 2023 berhubung dakwaan kononnya Menteri Komunikasi itu menyampaikan ceramah politik di sebuah masjid di Rawang, Selangor diselesaikan di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pihak-pihak mencapai penyelesaian damai bagi kes saman fitnah.
  • Kenyataan bersama menyatakan ucapan di Masjid Nurul Yaqin bukan ceramah kempen atau berunsur politik.
  • Semua pihak setuju ia adalah salah faham dan tidak akan mengeluarkan kenyataan selain yang dipersetujui.
  • Datuk Fahmi anggap perkara selesai; dua daripada tiga kes membersihkan nama, baki satu perbicaraan disambung esok.

Peguam Asheeq Ali Sethi Alivi, yang mewakili Fahmi, semasa sidang media berkata kedua-dua pihak telah mencapai penyelesaian kes secara damai.

“Ini kenyataan yang telah dan dipersetujui bersama iaitu setelah mempertimbangkan penjelasan lanjut dan kenyataan dari pihak berkuasa daripada dalam surat khabar, ucapan plaintif di Masjid Nurul Yaqin, Kuang, Rawang, Selangor pada 30 Julai 2023 bukan satu kempen ceramah politik atau kenyataan berunsur politik.

“Isu yang timbul adalah salah faham yang tidak sepatutnya berbangkit sejak awal dan pihak-pihak bersetuju untuk tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan selain yang telah dipersetujui dalam kenyataan ini,” katanya selepas prosiding di hadapan Hakim Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan.

Reaksi ringkas Datuk Fahmi menganggap perkara itu selesai dan kejadian tersebut boleh dijadikan sebagai pengajaran.

“Saya anggap dua daripada tiga kes ini telah membersihkan nama saya dan tuduhan sebelum ini memang tidak wajar tidak patut dilakukan.” katanya.

Baki satu lagi prosiding saman fitnah Datuk Fahmi membabitkan pendakwah bebas, Ahmad Dusuki Abd Rani akan disambung pukul 9 pagi esok.

Dalam tuntutannya, Datuk Fahmi mendakwa tiga individu menerbitkan kenyataan fitnah dengan menuduh beliau menyalahgunakan masjid untuk tujuan kempen pilihan raya serta melanggar titah Sultan Selangor.