
PELABUHAN KLANG, 27 Februari – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berjaya menggagalkan 863 cubaan kemasukan pendatang asing melibatkan 3,700 individu menerusi Ops Khas Pagar Laut dalam tempoh lima tahun.
- APMM menggagalkan 863 cubaan kemasukan pendatang asing tanpa izin melibatkan 3,700 individu dalam tempoh lima tahun.
- 344 tangkapan direkodkan antara 2020 hingga 2025 berkaitan pelbagai kesalahan, dengan nilai rampasan RM106.7 juta.
- Ops Khas Pagar Laut 2026 dikerah 800 pegawai, 275 aset termasuk kapal, bot dan pesawat, beroperasi 27 Feb hingga 10 Apr.
- Operasi melibatkan kerjasama agensi KDN, TLDM, Kastam, Jabatan Laut dan Perikanan untuk menutup laluan penyeludupan laut.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, dari tahun 2020 hingga 2025, sebanyak 344 tangkapan direkodkan dengan pelbagai kesalahan.
“Manakala nilai rampasan mencecah RM106.7 juta, negeri tertinggi yang mencatat rekod kes tangkapan ialah Sabah dengan 90 kes, Perak 71 kes, Johor 52 kes. Sepanjang tempoh sama yakni 2020 – 2025, ada 863 kes cubaan kemasukan pendatang asing tanpa izin yang melibatkan 3,700 orang telah berjaya kita patahkan,”
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Ops Khas Pagar Laut 2026 di Kapal Maritim Tun Fatimah, Pusat Hidrografi Nasional, Lebuh Sungai Chandong, Bandar Armada Putra, di sini.
Tegasnya, kerajaan tidak pernah berkompromi dengan sindiket yang menjadikan laut sebagai pintu belakang negara.
Perkongsian risikan dan operasi bersepadu terus diperkasa bagi menutup setiap ruang pencerobohan.
Ops Khas Pagar Laut 2026 yang bermula 27 Februari hingga 10 April akan menggerakkan 800 pegawai dan anggota bersama 275 aset termasuk kapal, bot peronda dan pesawat udara dengan pemantauan 24 jam menjelang Aidilfitri.
Operasi tersebut turut melibatkan agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri serta kerjasama Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Laut serta Jabatan Perikanan.
Antara jenayah dikesan termasuk penyeludupan barangan harian, senjata dan dadah melalui laluan laut menggunakan pelbagai taktik licik.