Op Selamat 25: 354 saman dikeluarkan di Perlis

Ketua Polis Perlis Datuk Muhammad Abdul Halim/Foto RTM Perlis

KANGAR, 16 Februari – Sebanyak 354 saman dikeluarkan di seluruh Perlis dalam tempoh sehari operasi bersepadu sempena Op Selamat 25 yang bermula semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Jumlah 354 saman dikeluarkan di seluruh Perlis dalam tempoh sehari operasi Op Selamat 25.
  • 167 saman kepada pesalah trafik; 187 notis saman dikeluarkan tanpa kehadiran pemandu.
  • Kesalahan utama: memandu laju, langgar lampu isyarat, guna telefon, parkir salah, tiada lesen, cukai jalan tamat.

Ketua Polis Perlis Datuk Muhammad Abdul Halim berkata daripada jumlah itu, 167 saman dikeluarkan kepada pesalah trafik manakala 187 lagi membabitkan notis saman yang dikeluarkan tanpa kehadiran pemandu.

Beliau berkata antara kesalahan yang dikenal pasti termasuk memandu melebihi had laju, tidak mematuhi lampu isyarat, menggunakan telefon bimbit ketika memandu, kesalahan parkir selain tiada lesen memandu sah serta cukai jalan tamat tempoh.

“Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Perlis merekodkan 30 saman dan 115 notis saman. Di Kangar pula sebanyak 54 saman dan 36 notis saman dikeluarkan kepada pemandu.

“Arau merekodkan 28 saman, manakala Padang Besar mencatatkan 55 saman dan 36 notis saman,” katanya ketika dihubungi RTM hari ini.

Op Selamat 25 bermula dari 15 hingga 20 Feb ini memberi tumpuan kepada pematuhan undang-undang jalan raya serta usaha mengurangkan kadar kemalangan sepanjang musim perayaan.