
PERAI, 18 Mac – Kastam Pulau Pinang merampas rokok dan minuman keras bernilai lebih RM3.9 juta dalam tiga serbuan berasingan Op Petasan di sekitar Bukit Mertajam bulan lepas.
- Rampasan melibatkan kira-kira 3.5 juta batang rokok dan 2,200 liter minuman keras.
- Tiga lelaki tempatan, berusia 40 hingga 60 tahun, ditahan; kesemua dibebaskan dengan jaminan.
- Tiga serbuan di Kampung Sungai Lembu, Taman Kekwa dan Kampung Manggis, termasuk 3.34 juta rokok dalam lori dan gudang.
- Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967; barangan dipercayai untuk diedarkan ke pasaran tempatan.
Rampasan membabitkan kira-kira 3.5 juta batang rokok dan 2,200 liter minuman keras, selain tiga lelaki warga tempatan berusia antara 40 hingga 60 tahun turut ditahan.
Pengarah Kastam Negeri Pulau Pinang, Datuk Rohaizad Ali berkata, serbuan pertama pada 9 Februari menemukan 38,200 batang rokok dan 1,238 liter minuman keras yang disembunyikan dalam sebuah rumah di Kampung Sungai Lembu.
Serbuan membawa kepada penahanan seorang lelaki yang mengaku sebagai pemilik rumah tersebut.
Serbuan kedua pula dilaksanakan pada 24 Februari, membawa kepada satu tangkapan seorang lelaki di sebuah rumah di Taman Kekwa, selain menemukan 182,000 batang rokok dan 998 liter minuman keras.
Manakala dalam serbuan ketiga pada 26 Februari di Kampung Manggis, sebanyak 3.34 juta batang rokok ditemukan tersimpan di dalam sebuah lori dan gudang. Pemandu lori dan kelindannya turut ditahan.
“Modus operandi kes ini menyembunyikan sejumlah rokok dan minuman keras tidak berkastam di dalam premis kediaman bagi mengaburi pihak berkuasa. Kesemua rokok dan minuman keras berkenaan dipercayai untuk diedarkan ke pasaran tempatan,” katanya.
Bagaimanapun, kesemua tangkapan telah dibebaskan dengan jaminan. Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.