
JOHOR BAHRU, 19 Mac – Sebanyak 2,510 kenderaan dikenakan tindakan atas pelbagai kesalahan, hasil pemeriksaan terhadap 29,692 kenderaan, menerusi Op Khas Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2026 di Johor, bermula 16 Mac hingga semalam.
- 4,415 kesalahan direkodkan, kesalahan teknikal dan tiada Lesen Kenderaan Perdagangan antara yang tertinggi.
- Sebanyak 45 kenderaan disita dalam operasi.
- Operasi tumpu pemeriksaan depoh bas, penguatkuasaan sembilan kesalahan, penggunaan kamera badan dan fokus 33 lokasi 'hotspot' kemalangan.
Pengarah JPJ Negeri Johor, Zulkarnain Yasin berkata, 4,415 kesalahan direkodkan dengan kesalahan teknikal dan tiada Lesen Kenderaan Perdagangan (CDL), antara yang tertinggi dikesan.
Sebanyak 45 kenderaan turut disita dalam operasi tersebut.
Operasi kali ini memberi tumpuan kepada pemeriksaan di depoh-depoh bas, selain penguatkuasaan terhadap sembilan kesalahan utama termasuk tidak mematuhi had laju dan menggunakan telefon bimbit ketika memandu.
Sepanjang tempoh itu, 17 kesalahan dikesan termasuk memandu melebihi empat jam dan memandu di lorong kanan secara berterusan.
“Untuk makluman, anggota kami pada operasi kali ini dilengkapi dengan kamera badan (body worn camera) serta Enforcement Action Camera (EAC). Penggunaan peranti ini penting bagi membantu pelaksanaan operasi pengesanan dan penguatkuasaan secara lebih berkesan.
“Operasi turut memberi tumpuan kepada 33 lokasi ‘hotspot’ kemalangan. Penempatan anggota telah dibuat di kawasan-kawasan tersebut bagi tujuan pemantauan dan memastikan kadar kemalangan jalan raya dapat dikurangkan.”
Semalam, seorang pelajar berusia 20 tahun, antara lima individu yang ditahan di Johor Bahru, dipercayai positif dadah mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih dan Penyalahgunaan Dadah dan Bahan 1983.
Beliau ditemui semasa Sidang Media Operasi Khas Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2026 di Plaza Tol Skudai (Arah Selatan), Johor Bahru.