
KUALA LUMPUR, 16 Mei- Alasan “lupa” untuk memperbaharui lesen perakuan alat timbang dan sukat antara dikemukakan 18 peniaga di Pasar Borong Kuala Lumpur yang dikenakan kompaun keseluruhan RM5,600 menerusi Op Embun 2.0 pada awal pagi Sabtu.
- Pemeriksaan 382 premis mendapati peniaga masih menggunakan alat timbang yang tamat tempoh penentusahan untuk urusan jual beli.
- Sebanyak 16 kes direkodkan di bawah Akta Timbang dan Sukat 1972, manakala dua kes bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.
- Kesalahan melibatkan kegagalan menentusahkan alat timbang serta kegagalan mempamerkan tanda harga dan senarai menu di premis makanan.
- KPDN bersama MCM sediakan perkhidmatan penentusahan berpusat pada 1 dan 22 April; penguatkuasaan dilaksanakan tanpa kompromi.
Tindakan itu diambil selepas pemeriksaan terhadap 382 premis yang mendapati masih terdapat peniaga menggunakan alat timbang tamat tempoh penentusahan bagi urusan jual beli.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kuala Lumpur, Mohd Sabri Seman berkata sebanyak 16 kes direkodkan di bawah Akta Timbang dan Sukat 1972, manakala dua lagi kes melibatkan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.
Beliau berkata kesalahan tersebut membabitkan kegagalan menentusahkan alat timbang serta kegagalan mempamerkan tanda harga dan senarai menu di premis makanan.
“Semua peniaga wajib memastikan alat timbang dan sukat berada dalam keadaan baik, tepat serta telah ditentusahkan,” katanya.
Menurut beliau, KPDN bersama Metrology Corporation Malaysia Sdn Bhd (MCM) sebelum ini telah menyediakan perkhidmatan penentusahan berpusat di Pasar Borong Kuala Lumpur pada 1 dan 22 April lalu bagi memudahkan peniaga.
“Justeru, penguatkuasaan dilaksanakan tanpa kompromi,”tegas beliau.
Sementara itu, Ops Embun siri pertama pada 17 Mac lalu merekodkan 26 kes pelbagai kesalahan hasil pemeriksaan ke atas 500 premis di Pasar Borong Kuala Lumpur dan Pasar Pudu.
Operasi bermula pukul 1.00 pagi itu melibatkan 50 pegawai dan anggota KPDN dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).