Nelayan hilang ketika candat sotong ditemukan meninggal dunia

Mangsa ditemukan pada jarak kira-kira 32 kilometer dari Pantai Sepat

KUANTAN, 4 April – Nelayan yang dilaporkan hilang selepas keluar mencandat sotong, Khamis lalu, ditemukan meninggal dunia pada pukul 6.30 petang tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Nelayan Mohd Ishak Ismail, 63, ditemukan oleh pasukan mencari dan menyelamat di Pantai Lagenda Tanjung Gosong, Pekan.
  • Penemuan berlaku kira-kira 32 kilometer dari Pantai Sepat, lokasi bot mangsa dahulu ditemui tanpa kelibatnya.
  • Seorang remaja, Muhammad Danial Haikal, 14, ditemukan kira-kira tiga kilometer; operasi menyelamat masih diteruskan bagi seorang lagi.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Salahuddin Isa berkata, mangsa, Mohd Ishak Ismail, 63, ditemukan pasukan mencari dan menyelamat di Pantai Lagenda Tanjung Gosong, Pekan.

Menurut beliau, mangsa ditemukan pada jarak kira-kira 32 kilometer dari Pantai Sepat, di sini, lokasi bot miliknya ditemui tanpa kelibatnya sebelum ini.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan, seorang daripada dua remaja yang dikhuatiri lemas di Sungai Kampung Durian Hijau, Jerantut semalam, turut ditemukan pada pukul 4.20 petang tadi.

Mangsa, Muhammad Danial Haikal Shamsudin, 14, yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jengka 24, ditemukan kira-kira tiga kilometer dari lokasi dia dipercayai dihanyutkan arus.

Operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan bagi mengesan seorang lagi mangsa yang masih hilang.