Maritim Perak gagalkan cubaan seludup daun ketum di Pulau Pangkor

Foto FB Maritim Malaysia

IPOH, 3 April– Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Perak berjaya mematahkan cubaan menyeludup kira-kira 75 kilogram daun ketum melalui jalan laut di Perairan Pulau Pangkor, pada Khamis (3 Mac).

RINGKASAN BERITA AI
  • Maritim Perak menerima maklumat aktiviti mencurigakan lalu menggerakkan bot ronda untuk pemantauan dan penguatkuasaan.
  • Pemeriksaan sebuah bot tanpa nombor pendaftaran kira-kira 0.3 batu nautika menemui dua lelaki tempatan.
  • Ditemui 15 bungkusan beg plastik hitam disyaki mengandungi daun ketum untuk edaran sekitar pulau.
  • Kedua-dua suspek ditahan dan diserah kepada pegawai penyiasat; kes disiasat di bawah Akta Racun 1952, rampasan dianggarkan bernilai RM110,000.

Pengarah Maritim Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob berkata pihaknya menerima maklumat berhubung aktiviti mencurigakan di kawasan berkenaan sebelum bot ronda digerakkan ke lokasi bagi melaksanakan pemantauan dan penguatkuasaan.

“Pemeriksaan ke atas sebuah bot tanpa nombor pendaftaran kira-kira 0.3 batu nautika di timur Pulau Pangkor mendapati ia dikendalikan dua lelaki tempatan.”

“Hasil pemeriksaan lanjut menemukan 15 bungkusan beg plastik hitam disyaki mengandungi daun ketum dipercayai untuk edaran sekitar Pulau Pangkor,” menurutnya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata pihaknya menahan kedua-dua suspek termasuk tekong berusia lingkungan 32 hingga 46 tahun dan merampas daun ketum yang dianggarkan bernilai RM110,000.

Mohamad Shukri berkata kedua-dua suspek dibawa ke Jeti Perikanan Kampung Acheh dan diserah kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat di bawah Akta Racun 1952. -BERNAMA