
KUALA TERENGGANU, 12 Januari– Seorang pemandu yang terlibat dalam kemalangan merempuh penuntut Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) baru-baru ini, diperintah menjalani pemeriksaan mental di Hospital Permai, Johor Bahru.
- Mahkamah perintahkan pemeriksaan mental di Hospital Permai, Johor Bahru untuk pemandu terbabit.
- Pemandu didakwa di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara berbahaya.
- Kemalangan pada 5 Januari menyebabkan kematian Syakirah Hanan Mazli, 25 tahun.
- Tiada ikat jamin dibenarkan, lesen pemandu digantung; sebutan semula kes pada 12 Februari.
Majistret Noor Mazrinie Mahmood mengeluarkan perintah itu selepas Mohd Izuddin Zakaria, 32 tahun didakwa dengan pertuduhan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) yang boleh dihukum dibawah seksyen dan akta yang sama.
Mengikut pertuduhan, pada 5 Januari 2026, pukul 1.55 petang di lampu isyarat Jalan Kemajuan, Kuala Terengganu, tertuduh telah memandu kenderaan secara berbahaya sehingga mengakibatkan kemalangan yang meragut nyawa Syakirah Hanan Mazli, 25 tahun.
Mahkamah tidak membenarkan sebarang ikat jamin dan menggantung semua jenis lesen kenderaan dimiliki tertuduh.
12 Februari depan ditetapkan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwaraya Nur Anith Nabilah Rusli manakala tertuduh diwakili peguam Ummi Sharmimi Harun dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan.