Lori uzur dan tidak selamat, JPJ sita lori dengan pelbagai kesalahan lain

RINGKASAN BERITA AI
  • Lori ditahan di Kilometer 3 Jalan Karangan–Padang Meha kerana uzur dan berbahaya kepada pengguna jalan raya.
  • LKM, insurans dan sijil PUSPAKOM lori telah tamat tempoh sejak 2012–2013.
  • Pemandu gagal mengemukakan lesen CDL dan GDL yang sah semasa pemeriksaan.
  • Pelbagai kecacatan teknikal ditemui; lori disita untuk tindakan lanjut oleh JPJ Kuala Ketil.

KUALA KETIL, 1 Februari – Dipandu sejauh 35 kilometer dalam keadaan berbahaya tanpa sistem lampu hadapan berfungsi….sebuah lori berjaya ditahan oleh anggota penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan, JPJ Kuala Ketil.

Ia hasil satu operasi di Kilometer 3, Jalan Karangan–Padang Meha, Kuala Ketil, Kedah, awal pagi Ahad.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.05 pagi itu, lori terbabit dikesan berada dalam keadaan uzur dan tidak selamat untuk berada di atas jalan raya, sekali gus mengundang risiko kemalangan kepada pengguna lain.

Pengarah JPJ Kedah, Stien Van Lutam berkata, pemeriksaan mendapati Lesen Kenderaan Motor (LKM) lori berkenaan telah tamat tempoh sejak Februari 2012, selain tiada perlindungan insurans yang sah sejak Januari 2013.

Sijil pemeriksaan PUSPAKOM juga didapati tamat tempoh sejak Jun 2012.

Lebih mengejutkan, pemandu gagal mengemukakan lesen memandu kelas Commercial Driving Licence (CDL) dan Goods Driving Licence (GDL) yang sah.

Pemeriksaan teknikal turut mendedahkan pelbagai kecacatan serius termasuk kegagalan lampu hadapan, lampu belakang dan lampu isyarat, selain keadaan dinding badan lori yang uzur serta sistem brek yang tidak diselenggara.

Susulan itu, lori berkenaan telah disita dan dibawa ke Stesen Penguatkuasa JPJ Kuala Ketil untuk tindakan lanjut.

Jelas Stien Van Lutam, tindakan tegas akan terus diambil terhadap mana-mana kenderaan perdagangan yang mengingkari undang-undang serta mengabaikan aspek keselamatan, demi melindungi nyawa pengguna jalan raya. ##