Lima lelaki warga asing ditahan bantu siasatan kes bunuh di JB

Foto Fail

JOHOR BAHRU, 20 Mac – Polis menahan lima lelaki warga asing bagi membantu siasatan kes bunuh seorang lelaki di kawasan Southkey pada 14 Mac lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mangsa berusia 32 tahun diserang dengan senjata tajam sekitar 5 pagi dan disahkan meninggal di Hospital Sultan Ismail akibat tikaman di leher.
  • Seorang suspek ditahan ketika cuba melepasi pemeriksaan imigresen ke Singapura pada 18 Mac; empat lagi diberkas 19 Mac dengan bantuan polis Singapura.
  • Ujian air kencing semua suspek negatif dadah, tiada rekod jenayah lampau; kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, suspek direman.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, mangsa berusia 32 tahun itu diserang dengan senjata tajam kira-kira pukul 5 pagi sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Sultan Ismail akibat tikaman di leher.

Menurutnya, beberapa suspek dipercayai cuba melarikan diri termasuk ke Singapura selepas kejadian.

“Seorang suspek berjaya ditahan pasukan Bahagian D9, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan, ketika cuba melepasi pemeriksaan imigresen ke Singapura pada pukul 12.15 tengah malam, 18 Mac.

“Empat lagi suspek kemudian diberkas pada 19 Mac kira-kira pukul 6 petang dengan bantuan pihak polis Singapura,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ujian air kencing mendapati kesemua suspek negatif dadah serta tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Suspek pertama direman tujuh hari bermula 18 Mac, manakala empat lagi turut direman dalam tempoh sama bermula hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.