Lapan rumah terbakar di Kg. Chabang Tiga

Foto BERNAMA

KOTA BHARU, 4 April – Lapan rumah di Kampung Chabang Tiga, Kedai Buloh di sini terbakar pada Jumaat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Lima rumah musnah sepenuhnya manakala tiga lagi terbakar sekitar 10 peratus; sebuah pacuan empat roda dan sebuah motosikal turut musnah.
  • JBPM mengerahkan 48 anggota dari empat balai selepas menerima panggilan kecemasan; kekurangan air diatasi melalui pili bomba dan sumber air terbuka.
  • Kebakaran berjaya dikawal dalam kira-kira sejam; punca dan jumlah kerugian masih disiasat.

Ketua Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan, Mohd Farid Ismail berkata lima daripadanya musnah 100 peratus manakala baki tiga rumah lagi terbakar 10 peratus.

“Kebakaran menjejaskan banyak rumah disebabkan struktur binaan daripada kayu, selain kedudukan rumah terlalu rapat. Sebuah kenderaan pacuan empat roda dan sebuah motosikal turut musnah,” katanya.

Jelas beliau, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 9.55 malam, sebelum mengerahkan 48 anggota dari empat Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) ke lokasi bagi memadam kebakaran.

“Walaupun pada awalnya kita mengalami kekurangan bekalan air, namun berjaya diatasi dengan mendapatkan sumber daripada pili bomba dan air terbuka berhampiran,” katanya.

Sementara itu, salah seorang penduduk terjejas, Syawal Anuar Ariffin berkata, ketika kejadian beliau bersama keluarga tiada di rumah.

“Saya berada di Kota Bharu sebelum menerima panggilan daripada sepupu memaklumkan rumah terbakar. Apabila saya pulang, api sedang marak dan bomba menghadapi kesukaran kerana kekurangan air,” katanya.

Kebakaran berjaya dikawal dalam tempoh kira-kira sejam dan operasi ditamatkan pada 12.30 tengah malam.

Punca kejadian serta jumlah kerugian masih disiasat.