BAU, 4 Januari – Polis menahan lapan individu berusia antara 20 hingga 34 tahun yang disyaki terlibat dalam penyalahgunaan dadah selepas menjalankan operasi pemeriksaan di beberapa lokasi sekitar Bau, awal pagi tadi.
- Operasi dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Bau awal pagi hingga kira-kira 9.00 pagi.
- Pemeriksaan dibuat di Kampung Peninjau Baru, Peninjau Lama, Kopit dan Plaman Sega hasil risikan polis.
- Lapan lelaki ditahan kerana memiliki paket plastik berisi ketulan kristal disyaki syabu.
- Saringan air kencing awal menunjukkan semua suspek positif dadah dan ditahan di bawah Seksyen 15(1)(a).
- Polis menegaskan tiada kompromi terhadap penyalahgunaan dan pengedaran dadah; orang ramai diminta hubungi hotline.
Ketua Polis Daerah Bau, Superintenden Mohd Haide A. Rahman berkata, operasi berkenaan dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau antara pukul 5.30 pagi hingga kira-kira 9.00 pagi.
Menurut beliau, pemeriksaan dilakukan di beberapa kawasan tumpuan iaitu Kampung Peninjau Baru, Kampung Peninjau Lama, Kampung Kopit dan Kampung Plaman Sega, hasil risikan yang dijalankan pihak polis.
“Hasil pemeriksaan telah membawa kepada penahanan lapan lelaki tempatan yang disyaki terlibat dengan penyalahgunaan dadah,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Beliau berkata, kesemua suspek ditahan di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 selepas didapati memiliki satu paket plastik putih lutsinar yang mengandungi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu.
Selain itu, hasil saringan awal ujian air kencing mendapati kesemua suspek positif dadah dan mereka turut ditahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Dalam pada itu, Mohd Haide menegaskan pihak polis tidak akan berkompromi terhadap sebarang penglibatan dalam aktiviti penyalahgunaan dan pengedaran dadah di daerah berkenaan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti dadah diminta menyalurkan maklumat kepada Hotline JSJN Bukit Aman di 012-208 7222 atau Hotline JSJN IPK Sarawak di 017-592 9211.