
KOTA BHARU, 2 Februari – Lima individu yang dipercayai terkait dengan kumpulan disyaki terlibat dalam kegiatan pecah cermin kereta dan mencuri ditahan polis dalam beberapa serbuan berasingan di Kelantan.
- Lima individu ditahan dalam serbuan di tiga lokasi berasingan berkaitan pecah cermin kereta dan curi.
- Barang rampasan termasuk 18 telefon bimbit, 41 beg tangan, 11 dompet, barang kemas, dua kereta dan anak kunci.
- Dua lelaki disahkan positif methamphetamine; tiga lelaki ada rekod jenayah dan dadah, dua wanita tiada rekod lampau.
- Tangkapan menyelesaikan lapan kes dengan anggaran kerugian RM32,200; kes disiasat bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat menerusi satu kenyataan memaklumkan, tangkapan dilakukan susulan laporan kes pecah cermin kereta dan curi yang berlaku kira-kira pukul 7.30 pagi Jumaat lalu di tepi jalan Tanah Perkuburan Kampung Wakaf Berangan, Pasir Puteh, dengan kerugian dianggarkan RM1,100.
Beliau berkata, hasil risikan dijalankan, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Kontinjen Kelantan melaksanakan serbuan pada pukul 12.30 tengah malam di tiga lokasi berasingan, iaitu di laluan pemeriksaan Kompleks ICQS Rantau Panjang, sebuah rumah di Kampung Seligi serta sebuah lagi rumah di Kampung Gaal, Pasir Puteh.
“Hasil serbuan tersebut, polis menahan tiga lelaki, seorang wanita tempatan dan seorang wanita warga Thailand berusia antara 32 hingga 55 tahun,” katanya.
Menurut beliau, polis turut merampas pelbagai barangan dipercayai hasil kegiatan jenayah termasuk 18 unit telefon bimbit, 11 dompet, 41 beg tangan dan beg galas pelbagai jenama, tujuh utas barang kemas, dua jam tangan serta dua buah kereta bersama anak kunci.
Tambahnya, hasil semakan mendapati tiga lelaki terbabit mempunyai rekod jenayah dan dadah, manakala dua wanita berkenaan tidak mempunyai sebarang rekod lampau.
“Ujian saringan air kencing mendapati dua daripada lelaki tersebut positif dadah jenis methamphetamine,” katanya.
Katanya lagi, mahkamah membenarkan semua suspek direman selama empat hari bermula semalam hingga Rabu ini bagi membantu siasatan.
“Tangkapan ini berjaya menyelesaikan lapan kes pecah cermin kereta di Kelantan dan Terengganu dengan anggaran kerugian keseluruhan RM32,200,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.