
SHAH ALAM, 29 Januari -Sebanyak 1,381 kompaun dikeluarkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor pada tahun lepas melibatkan nilai keseluruhan RM4.21 juta.
- KPDN Selangor keluarkan 1,381 kompaun serta membuka 478 kertas siasatan dengan potensi kompaun RM3.87 juta pada 2025.
- Jumlah pemeriksaan premis sepanjang tahun lalu ialah 110,067, dengan rampasan bernilai RM18.05 juta dalam kes yang disiasat.
- Untuk Januari, 12,199 pemeriksaan dijalankan, menghasilkan 210 kompaun bernilai RM61,900 dan 41 kertas siasatan.
- Penguatkuasaan menekankan pematuhan tanda harga, alat timbang sah, lesen barangan kawalan dan keperluan pendaftaran SSM.
Pengarah KPDN Selangor, Muhamad Hanif Asa’ari berkata, ia hasil penguatkuasaan terhadap premis perniagaan di seluruh negeri sepanjang tahun lalu.
Jelasnya, jumlah itu merangkumi kompaun dikeluarkan secara terus serta nilai potensi kompaun bagi kes yang dibuka kertas siasatan.
Beliau turut memaklumkan, sepanjang tempoh itu juga, sebanyak 110,067 premis telah diperiksa di seluruh Selangor.
Daripada jumlah tersebut, 1,141 kes direkodkan bawah Akta Kawalan Harga, 146 kes bawah Akta Kawalan Bekalan, 293 kes bawah Akta Timbang dan Sukat serta 62 kes bawah Akta Perlindungan Pengguna.
“KPDN Selangor mengeluarkan 1,381 kompaun secara terus bernilai RM341,900, selain membuka 478 kertas siasatan dengan nilai potensi kompaun mencecah RM3.87 juta bagi tahun 2025,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas operasi pemeriksaan khas di sekitar Seri Muda, hari ini.
Tambahnya, kes yang masih dalam siasatan melibatkan nilai rampasan RM18.05 juta sepanjang tahun lalu.
Bagi tempoh Januari tahun ini pula, 12,199 pemeriksaan premis telah dijalankan, melibatkan 210 kompaun bernilai RM61,900 serta 41 kertas siasatan dengan potensi kompaun berjumlah RM208,000.
Muhamad Hanif menegaskan, peniaga perlu mematuhi peraturan termasuk pemaparan tanda harga, penggunaan alat timbang dan sukat sah, serta pemilikan lesen barangan kawalan berjadual.
Beliau turut mengingatkan pematuhan terhadap keperluan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), termasuk pendaftaran perniagaan serta paparan nombor pendaftaran pada papan tanda dan resit.
Terdahulu, KPDN Selangor bersama SSM menjalankan operasi khas di sekitar Seri Muda susulan aduan awam.
Dalam operasi itu, hampir 30 premis diperiksa, melibatkan lapan pelanggaran bawah akta KPDN dan lima ketidakpatuhan SSM, dengan 13 kes diambil tindakan serta-merta melalui kompaun hampir RM10,000.