
LABUAN, 27 Januari – Sebanyak 32 tong gas petroleum cecair (GPC) yang disimpan tanpa kebenaran dirampas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Labuan.
- Serbuan dilakukan oleh KPDN Labuan ke atas premis tidak berdaftar di pinggir bandar susulan maklumat Unit Perisikan.
- Pemeriksaan mendapati pemilik gagal mengemukakan lesen, permit atau kebenaran bertulis Pengawal Bekalan.
- Kesemua tong disita untuk siasatan lanjut di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
- Jika disabit kesalahan, individu berdepan denda hingga RM1 juta atau penjara hingga tiga tahun atau kedua-duanya.
Pengarah KPDN Labuan, Junaidah Arbain berkata, satu serbuan dijalankan ke atas sebuah premis yang tidak berdaftar di pinggir bandar Labuan.
Beliau berkata, serbuan dijalankan hasil pemantauan dan maklumat Unit Perisikan KPDN Labuan ke atas lokasi berkenaan yang disyaki terlibat dalam aktiviti transaksi keluar masuk tong gas berkenaan secara mencurigakan.
Pemeriksaan lanjut mendapati pemilik premis gagal mengemukakan sebarang lesen, permit atau kebenaran bertulis daripada Pengawal Bekalan berkaitan pemilikan dan penyimpanan barang kawalan berjadual tersebut.
Susulan penemuan itu, KPDN Labuan menyita kesemua tong berkenaan, bagi tujuan siasatan lanjut di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122).
Jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai hampir RM4,500.
Jika sabit kesalahan, individu boleh dikenakan denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga (3) tahun atau kedua-duanya sekali. Manakala bagi syarikat pula boleh dikenakan denda yang lebih berat sebagaimana diperuntukkan di bawah akta yang sama.